novela the curious case of whatever 17

Part 17 

Act 81 – AN OVERKILL COMMANDO SKILL


“Rif, aku tahu kau berdendam dengan Raphael tapi jangan bahayakan misi ini,” kata Ed seakan tahu apa yang ada dalam fikiran Rifqi.

“Ed, kejadian petang tadi adalah disebabkan oleh si keparat bernama Raphael tu, kau nak aku duduk diam?” balas Rif tidak memandang kawannya itu.

“Aku tahu, Rif. Kau marah, kau benci dengan mereka tapi kita kena tunggu masa yang sesuai. Kalau tidak semuanya akan jadi sia-sia,” balas Eddie Sufian berasionalan dengan Rif. Memang selama ini, dalam keadaan yang paling sukar, Eddielah yang paling rasional sekali. Rif melepaskan hela nafas yang berat. Dia memang marah tetapi mengenangkan kawan-kawan lain yang sudah bertungkus lumus untuk misi ini, dia kembali kepada kewarasannya semula. Walaupun jika diikutkan, malam ini juga dia mahu mencari Raphael dan memenggal kepala lelaki jahanam itu.

“Aku bagi peluang sebab Luqman ketua operasi ni. Aku bagi peluang sebab Jimmy dah bahayakan dirinya untuk bantu. Dan aku bagi peluang sebab aku tak nak kerja keras If, jadi sia-sia, puas hati?!” tanya Rif keras tetapi sudah ada senyum pada wajahnya. Ed turut berasakan emosi Rif itu. Walaupun marah dia kena jadi professional.

“Tapi korang kena ingat sesuatu, bila tiba masanya, serahkan Raphael kepada aku, sebelum kita sumbat dia dalam penjara... aku nak bagi dia rasa combat mode aku ni... kali ni bukan COMBAT MODE EXTREME lagi dah, untuk dia aku dah reka sesuatu yang baru.”

“Apa? Kau jangan buat gila Rif,” tanya Ed tersengih-sengih.

“COMBAT MODE OVERKILL!” balas Rif penuh semangat.

“Awesome, dude!” tingkah Ed, berasakan Mode Overkill Rif itu cukup COOL!

“Yang itu jangan sekali-kali kau bagitahu dekat Afi, tau!” arahnya memberi amaran kepada Ed. Tahu-tahu sahajalah Afi, kalau petang tadi dia hampir histeria melihat Rif bertukar menjadi Power Ranger warna hijau yang ganas itu, apatah lagi kalau tahu tentang OVERKILL, rasanya pada pandangan Afi, Rif akan jadi orang jahat dalam Power Ranger di awal siarannya dahulu itu, yang duduk dekat bulan itu. Haha, nostalgik sungguh!

“Okay, okay! Don’t worry. Speaking of If, ada dapat apa-apa berita daripada dia, semalam tak jadi nak breach tempat itu terus tukar pelan. Apa cerita dia?” tanya Ed penasaran.

If, atau Saif adalah salah seorang komando yang ditugaskan untuk berada dalam kumpulan penjahat-penjahat itu. Raphael atau Tiger, dia boleh menyelinap masuk sesuka hati kerana dia punya access. Menyamar sebagai double agent memang merbahaya tetapi lelaki itu sudah melakukan pekerjaan itu agak lama juga. Sedari Jimmy masih menyamar sebagai Cougar lagi.

“Entah, itu kena tanya Man sendirilah,” jawab Rif pendek memang tidak tahu apa-apa lagi.



Act 82 – Suatu masa dahulu, perang mereka lebih teruk.


Rex menekup muka. Selepas panggilan telefon Hafriz diletak. Casualty memang tidak boleh dielakkan dalam kerja-kerja yang mereka berlaku. Kalau sudah ajal, kerja sebagai pembalut hadiah di kaunter khidmat pelanggan di pusat beli belah pun boleh mati tiba-tiba. Inikan pula pekerjaan yang semacam mereka ini. Lagilah penuh risiko. Fauzan atau Jan hanya melihat sahaja dengan rasa simpati yang tidak dibuat-buat. Walaupun hanya mengenali lelaki bernama Kenneth itu tidak lebih 12 jam, tidak dapat tidak dia tetap berasa simpati juga. Nyawa orang bukannya bahan mainan untuk diendahkan begitu-begitu sahaja. Namun melihatkan riak dan rupa paras Rex kala ini, Jan tahu, lelaki ini cukup professional. Dia tidak akan effected hanya dengan kematian seorang pekerja. Yalah, lagipun Ken sebenarnya anak buah Izz, bukannya dia. Oleh sebab itu, mungkin Rex tidak rasa kehilangan sangat.

“Kalau Ken pun dah mati, aku tak tahulah nak kata apa lagi dekat Izz dan Sid. Aku tak berani jamin yang Adni dan Ari selamat,” balas Rex seakan kecewa. Dia meraup wajah sekali lagi. Fauzan jadi serba salah. Dia di sini untuk menyelamatkan Ari kerana dia tidak mahu meninggalkan sahabat yang sudah menjadi keluarganya bersendirian melalui masa-masa getir seperti ini. Tetapi mendengar pengakuan jujur Rex, adakah dengan ini mereka gagal mempertahankan Ari? Sekaligus membenarkan ‘Incubus’ terus bermaharajalela.

“We do not know that for sure,” balas Fauzan tidak mahu kekal bungkam walaupun keadaan seakan menekan mereka. Dia cuba mencari sinar harapan walaupun cahaya itu tidak kelihatan di mana-mana arah. Sejujurnya dalam hati, Jan sendiri terasa apa yang dikatakan Rex boleh jadi benar-benar telah berlaku. Ken mati... apa jaminannya Adni dan Ari masih kekal hidup. Namun untuk mengakui melalui kata-kata, dia tidak sanggup. Tidak juga dia mahu.

“Let’s get the hell outta here,” sambung Jan lagi.

Tubuh lemah Daim Fauzan papah. Lelaki itu terkena serangan pada kaki. Terasa sakit yang amat seperti tulang pahanya patah sahaja perinya. Rex pula memegang lengan Rahim yang cuma cedera ringan sahaja namun masih tidak boleh berjalan dengan betul dek kerana rasa pening yang masih berpinar sejak tengkuknya dipatahkan tadi. Mereka harus keluar daripada kebun getah yang sudah jauh masuk ke dalam daripada jalan besar. Kemungkinan besar Suri dan yang lain sudah menunggu dekat Hummer miliknya.

~~

Suri yang berjalan di antara kedua-dua lelaki di hadapan dan di belakangnya ini terasa tertekan tiba-tiba. Diam sahaja. Naik bosan dirinya berjalan-jalan. Hafriz jarang hendak bersenyap-senyap. Sesekali lelaki itu membuat perangai seperti itu, Suri jadi tertekan. Dia sudah biasa dengan perangai Hafriz yang gemar mengusik dan mengenakannya.

Jimmy pula memang tidak ada sebablah hendak berborak-borak. Tahu yang Hafriz memikirkan kemungkinan yang bukan-bukan, Suri cukup pasti yang diamnya Jimmy adalah disebabkan malas hendak berkelahi dengan lebih banyak selain memang Jimmy sudah kecil hati, mungkin. Ah, apalah budak-budak 2 ekor ini. Badan bagak sahaja yang lebih perangai macam budak-budak... tak professional langsung. Kutuknya dalam hati.

Kebun yang sudah meyerupai belukar itu mereka randai perlahan. Hafriz yang mendukung mayat Ken memanglah perlahan, yang berdua itu kerana terpaksa mengikut langkah Hafriz. Lagipun, memang tidak ada apa-apa yang boleh mereka lakukan di sini.

Hafriz sebenarnya berasa lenguh mendukung mayat Ken tetapi untuk berhenti berehat sebentar dia tidak mahu kerana takut nanti ada yang mengatakannya lemah, tidak kuat mahupun manja. Jadi, dia keraskan diri juga berjalan dengan mendukung mayat yang beratnya itu lebih 70 kilogram itu. Begitulah kalau sudah ego. Dia menjeling ke belakang barang sesekali. Sekadar mahu memeriksa sama ada Suri dan Jimmy masih di situ. Kalau hilang nanti, menjadi satu hal pula. Kalau Jimmy yang hilang tidaklah dia bimbang sementelah Jimmy itu tentera dan memandangkan dia sedang marahkan lelaki itu, lagilah dia tidak kisah. Yang menjadi masalahnya kalau Suri yang tidak ada. Selain menyusahkannya, Rex pula yang akan pelankung kepalanya kerana tidak menjaga anak gadisnya dengan betul. Itu baru ayahnya, kalau datuknya lagilah Hafriz gerun. Tan Sri Aminuddin itu cukup ketat wajahnya. Naik seriau dia berdepan dengan Tan Sri itu semasa Suri membawanya ke rumah agam, bukan... ‘istana’ milik datuknya itu di Melaka lewat beberapa bulan lepas. Mahu hubungan mereka direstui datuknya itu, Suri membawa Hafriz datang menghadap datuk dan ibu saudaranya. Hafriz kenal sangat dengan ibu saudara Suri yang bernama Farahana itu tetapi datuknya adalah kali pertama dia bertemu empat mata. Mengingatkan perkara itu, dia rasa cukup bertuah kerana keluarga hartawan bertaraf multi-billionaire itu sedia menerima dirinya yang fakir dan dina. Dia bersyukur mereka tidak memandang darjat. Lama meladeni perasaan sendiri, dia kembali kepada persoalan sebelumnya. Dia kena jaga Suri baik-baik kerana itulah yang disuruh Tan Sri Aminuddin kali pertama berjumpa dahulu. Ah, kalau tidak disuruh pun dia tetap akan menjaga Surihana. Gadis pujaannya sepanjang zaman. Manakan tidak, dia tatang Suri ibarat menatang minyak yang penuh. Sayangnya kepada gadis tidak perlu ditanya lagi. Sangat, terlalu dan teramat sayang. Cinta matinya.

Dalam menjeling Suri itu, dia terpandang Jimmy sekali. Walaupun selepas bercakap dengan Jimmy tentang kecurigaannya itu, dia belum berasa puas. Pada Hafriz, dia tidak mendapat penjelasan yang memuaskan hatinya. Setakat bercakap, sesiapa pun boleh. Mengingatkan perkara itu, dia jadi bengkek sendiri. Hatinya mendidih tiba-tiba. Sudahlah satu ketika dulu Jimmy pernah cuba membunuhnya. Bukan cuba, tetapi hampir berjaya. Mengingatkan itu juga, bengang dalam hati bertingkat setakah lagi. Dia ingat lagi waktu itu. Dia sudah hampir mati, dan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Terkapai-kapai hendak bernafas. Kalau hari itu ajalnya sampai, entahlah... ke nerakalah nampaknya dia. Nasib baik umurnya masih panjang lagi. Sempat jugalah dia bertaubat.

Jimmy membalas renungan Hafriz. Kenapa dengan mamat ni? Dia bengangkan apa lagi? Apa lagi yang dia tak nak percaya. Tanya Jimmy sendiri dalam hati. Tiba-tiba kepalanya terasa bagai terjentik. Suatu memori yang lama terpampang jelas.

“Oh my God,” serunya perlahan hanya didengari Surihana. Gadis mongel itu memandang dengan kening terangkat bertanya.

“Nothing,” jawab Jimmy sambil wajah Suri yang terjebik dia pandang.

Patutlah Hafriz memandangnya kerek sahaja. Dia masih ingatkan peluru itukah? Ah, memang salahnya... tetapi dia tidak sengaja. Bukan, bukan tidak sengaja. Dia tidak tahu. Bukan juga. Memang dia yang menembak Hafriz dahulu. Sewaktu dia menjadi Cougar. Ah, macam mana dia boleh tidak ingat pula! Sedangkan sepanjang petang tadi Hafriz bercerita tentang operasi lamanya untuk membunuh Tengku Azhar yang gagal dan terbatal itu. Sedikitpun tidak Jimmy ingat dia telah menarik picu itu kepada Hafriz. Kalau lelaki ini masih hidup tak mustahil dia akan menaruh dendam dengannya. Adakah selama ini, sepanjang hari ini Hafriz menaruh benci dan dendam terhadapnya? Jimmy mengurut-ngurut tengkuk tanda kusut. Bagaimana dia hendak bekerjasama dengan orang yang pernah dia ‘bunuh’!

Act 83 – Mejar Saif Mohd. Hakim


Saif sedang bersendirian di dalam ruang pejabat di dalam gudang yang menempatkan barang-barang terlarang ini. Mengetahui program untuk mencekup orang-orang Tiger dan Raphael dalam operasi malam tadi telah terbatal, rasanya dia perlu melakukan sesuatu. Pertemuannya dengan Helmi siang tadi membuatkan dia resah. Benar seperti kata kawannya itu. Mereka perlukan masa sebelum ‘Bos Besar’ memunculkan diri tetapi sampai sekarang, setelah hampir 2 tahun dia menjadi barua, muncikari, alku, ketolol hatta pinang muda sekalipun mengikut peribahasa, dia masih belum berjaya membuatkan ‘lelaki itu’ keluar daripada persembunyiannya. Sungguh dia bosan dengan hidup yang seperti ini. Telah lama dia berjauhan dengan keluarga tanpa sebarang khabar berita. Dia rindukan ibunya, bapanya, adik-adiknya tetapi mengenangkan negara memerlukan dirinya lebih daripada keluarganya, dia pasrah. Dia tidak mampu redha tetapi dia tetap berserah dengan ketentuan Tuhan. Jadi, dia bersumpah... selama mana pun dia harus di sini, dia akan tunggu. Suatu hari nanti dia pasti dapat pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Harapannya tulus.

Sedang sibuk meladeni perasaan hati yang galau tak ingat, alat telekomunikasinya berdering sekali dengan bunyi ‘beep’. Siapakah?

Dia merenung sms yang diterima. Overtime lagi! Ah, sial! Menjadi kerjanya lagi! Tetapi mahu tidak mahu, dia terpaksa.

Act 84 – Up to date


Sungai Udang, Melaka...

Helikopter yang membawa Adni, Ari dan Helmi serta Alek selamat mendarat di sebuah heliport yang berada di sebuah lokasi rahsia berdekatan Kem Sungai Udang di Melaka. Helmi perlu melapor diri dalam kadar segera namun sebelum itu, kumpulan bantuan perubatan telah meminta perjumpaan Helmi dengan orang atasannya ditangguhkan sebentar kerana Helmi perlu diperiksa secara terperinci di makmal perubatan rahsia yang memiliki alatan yang lebih lengkap. Walaupun tidak mengalami kecederaan parah tetapi dia pernah berlawan dengan ‘pembawa’ iaitu Alek. Sistem badannya perlu diimbas dengan teliti sebelum melepaskannya bergaul secara bebas. Takut-takut dia turut sama terkena jangkitan bakteria yang berbahaya itu.

Beberapa orang ahli pasukan bantuan menurunkan Adni dan Alek yang masih lagi tidak sedarkan diri. Mereka juga membantu Ari yang takut-takut hendak turun. Almaklum sahajalah, kali pertama menaiki chopper. Helmi pula tidak perlulah dibantu, walaupun sedikit tercedera tetapi tidaklah seteruk mana, dia masih mampu bertahan. Mereka kemudiannya terus menaiki sebuah van tentera untuk ke makmal tersebut.

~~

Kondominium Raphael. Mont Kiara...

Bayangan api yang marak dan letupan yang kuat itu merentap lenanya lalu membawa Raphael kepada kesedaran. Dia hanya bermimpi. Wajah ketuanya dahulu dia masih belum lupa. Mana mungkin. Lelaki itu telah banyak berbudi dengannya. Sampai mati pun, dia tidak rasa dia mampu hendak membalas budinya. Namun, ajal maut semua telah tertakdir. Yang hidup tetap harus meneruskan kehidupan. Ya, dia perlu mengekalkan empayar Tseng yang dia warisi. Dia harus mempertahankan kekuasaan Tseng.

Tidak semena-mena dia teringatkan Tiger si bangsat itu. Kau akan tahu apa yang mampu aku lakukan, Tiger! Kau tunggu sahaja!

~~

Lokasi rahsia, Kuala Lumpur...

Wajah Alia penuh pilu dan sayu mengingatkan Sarah. Bagaimanalah dengan anaknya yang seorang itu. Nasib baiklah sekarang cuti sekolah, kalau tidak siapalah yang hendak menghantar dan mengambilnya pergi balik sekolah. Kerisauannya bukanlah termaktub hanya dek kerana hal persekolahan Sarah sahaja. Dia juga memikirkan suami tercinta. Apalah yang Fik fikirkan sekarang? Tidak risaukah dia? Alia menitiskan airmata, sudah tentulah Taufik amat membimbangi ketiadaannya. Sementelah dia telah memberitahu segala-galanya kepada Taufik tentang apa yang dia tahu, pasti Taufik tidak dapat menahan rasa risau. Apa yang diketahuinya itu dia cukup yakin adalah apa yang ingin sangat diketahui oleh penjahat-penjahat yang menculik Adni dan Ari. Bukan Ari dan Adni yang sepatutnya menjadi mangsa. Sepatutnya dia. Dia punca masalah ini walaupun tidak satu pun yang terjadi adalah kesalahannya. Teringatkan itu, hatinya terus terbayangkan Nina. Nina perlu berjaya menyelamatkan Adni dan Ari, kalau tidak... dia tidak dapat memaafkan dirinya lagi.

~~

Sungai Udang, Melaka...

Sudah hampir 5 jam Afi berada di sini. Dia berasa bimbang tetapi sedaya upaya dia sorokkan daripada penglihatan Liza. Isteri Helmi. Filem aksi di televisyen makin membuatkannya risau tidak bertempat. Mesti Rif sedang berCOMBAT MODE sekarang ini! Afi cukup tidak suka dengan perangai ‘Devil-May-Care’ Rif dan Jimmy itu. Sudah puas dia memberi nasihat dan marah-marah tetapi itu jugalah yang mereka buat. Terjun sana, terjun sini. Lompat sana, lompat sini. Tembak sana, tembak sini. Naik letih bebelannya saban hari tetapi untuk berubah, haram!

Terlepasnya rasa bimbang dalam hati ke wajah, maknanya terlepas jugalah ke pengetahuan Liza. Wanita berstatus ustazah brutal itu membawa sejag kecil minuman jus oren yang segar diperah, bukannya dalam kotak atau botol punya. Jajan Twisties turut sama dia berikan kepada Afi. Dengan santun, Afi menolak, katanya tak ada selera. Namun saat Liza duduk di sebelahnya dan menghulurkan makanan ringan itu, bukan main lagi diseluknya dan diambil segenggam. Tak ada seleralah sangat.

“Tadi kata tak ada selera, hehe. Liza pancing sikit je dah tunjuk sangat rasa risau tu,” tukas Liza.

Afi terkebil-kebil tetapi saat melihat tangan yang penuh dengan keropok itu dia sedar maksud Liza. Memang dia risau.

“Jangan risaulah, Afi. InsyaAllah tak ada apa-apa yang teruk akan terjadi. Kita doakan yang terbaik untuk mereka, ya.” Wanita ustazah itu menasihatkan Afi supaya banyakkan berdoa. Kuasa doa itu cukup ampuh. Kalau ada sebarang bentuk magis pun dalam dunia ini, ia pasti wujud dalam bentuk doa kudus seorang hamba Allah yang ikhlas dengan ketentuan-Nya. Itulah magik yang sebetul-betulnya.

Dalam pada sibuk-sibuk meladeni galau hati Afi, Liza mendengar telefon bimbitnya berdering. Bunyian zikir menerjah pendengaran kedua isi rumah itu. Haa, sesuailah dengan status ustazah itu. Kalau orang lain dengan nada dering yang bukan-bukan, Gangnam Style lah bagai... Liza tidak pernah menukar nada dering lain selain yang satu itu.

‘Sayang, abang balik malam ini... Afi ada dekat situ tak? Dia ok?’

SMS daripada Helmi. Liza tidak langsung berasa hati Helmi menanyakan Afi okay atau tidak dan tidak kepadanya. Dia okay dan dia tahu Helmi juga yakin dia tidak ada apa-apa. Tetapi Afi lain, Afi sahabat karib mereka sejak kecil. Walaupun sudah berkahwin dengan Rif, Liza tahu sayang Helmi, Ed dan Man terhadap Afi tidak berubah sedikitpun. Sayang mereka masih sama, masih menganggap Afi seperti adik kecil walaupun umur mereka sama sahaja. Mengenangkan itu, Liza tersenyum sedikit sebelum mesej teks ditaip balas.

‘Afi ada, dia risaukan Rif dan Jimmy agaknya. Macam sasau aje Liz tengok.’

Teks dibalas namun senyum di bibir masih di situ. Sehingga mengundang tanya daripada bibir seorang Afiqah Najwa.

“Kenapa senyum-senyum macam itu, Liza? Bercinta ke?”

Wanita ustazah itu ketawa mendengar pertanyaan dan tukasan Afi. Ya, kenyataannya memang dia sedang bercinta. Dia bercinta dengan suaminya sendiri. Memanglah mereka pernah bercinta sebelum berkahwin tetapi itu hanyalah sekadar berkenal-kenal sahaja. Tak adanya hendak berdating atau apa-apa sangat. Mengingatkan itu, dia tergelak lagi. Sesudah berkahwin pun, mereka berdating dalam kem juga yang banyaknya. Nak pergi Pavillion, Sunway Pyramid hatta Mid Valley pun entah berapa kali sangat. Mahkota Parade, Aeon Bandaraya Melaka, Dataran Pahlawan, Jonker Street, Bangunan Merah, A Famosa mahupun Pantai Marina yang dekat itu pun bukan main susah, inikan pula ke tempat lain di luar Melaka. Boleh dibilang dengan jarilah datingnya itu. Itupun dengan jari tangan sahaja. Bukannya Helmi tidak romantik. Pada Liza, Helmi is Romantic in the Flesh. Tidak ada lelaki yang boleh jadi lebih romantis daripada Helmi padanya. Ah, memanglah dia akan kata begitu, Helmi itukan suaminya.

“Eh, orang tanya, dia gelak pula,” balas Afi lagi. Buat sejenak dia terlupa akan kerisauannya terhadap Rif. Dan Jimmy.

Act 85 – I’m the Costner to You Houston!


“Tak guna!” Sid menyumpah kuat. Izz juga sama, bagaimana mereka boleh terlepas peluang yang ada itu begitu sahaja. Satu-satunya cara untuk mereka mendapatkan Ari dan Dinie lepas begitu sahaja.

Izz menggosok perut. Senak dirasakan ditumbuk sebegitu. Samalah dengan Sid. Pipinya pedih seperti dihiris pisau. Memang ada luka pun di pipinya itu dek kerana hentakkan tumit kasut tinggi Nina. Rasanya perempuan itu puas hati membalas dendamnya. Ah, Sid terima seadanya serangan itu kerana dia pun pernah berkasar dengan Nina tetapi apabila perempuan itu melepaskan diri dia jadi marah. Kerana dia tahu tanpa Nina, akan lebih sukar dia dapat menyelamatkan Ari.

~~

Susur masuk ke Lebuhraya Persekutuan dari Klang.

“How many times do I have to save your ass, Nina?” tanya Odin selamba. Tanya selamba, mencarut pun selamba. Serasanya, sudah banyak kali dia menyelamatkan Nina. Walaupun perempuan ini berpangkat lebih tinggi daripadanya, dia tetap juga menjadi orang yang kerap kali disusahkan Nina kalau Nina terlibat dengan masalah.

Kia Sportage yang dipandu Odin meluncur laju membelah lebuh raya yang sangat lenggang ini. Sedar tak sedar, mereka sudah berada di Federal Highway. Hati Nina berbelah bahagi, ada suka dan ada juga tidak suka. Sukanya, dia sudah terselamat daripada cengkaman ‘ex-boyfriendnya’ itu. Tak sukanya kerana dia gagal mendapatkan Ari dan Adni. Apalah yang hendak dia katakan kepada Kak Alia nanti. Kusut otaknya! Nina teringat akan pertanyaan berbaur sungutan dan makian daripada Odin. Dia menjawab.

“Kenapa berkira sangat ni?” tanya Nina membalas dengan pertanyaan.

“Gila kau tak berkira? Aku selamatkan kau, apa aku dapat?”

“Kan Edwin kata kau kena bagi cover kat aku, kau ingat senang ke aku nak bergerak dalam kumpulan Raphael? Kalau aku tak jual badan aku ni dekat dia, kau rasa senang kita nak dapatkan maklumat-maklumat itu semua? Susah, okay!”

“Masalahnya sekarang ni, masalah kau ni tak ada kena mengena dengan Raphael? Kau kena tangkap dengan orang lain. Aku kena ambik peduli ke semua ni?”

Nina terdiam sahaja selepas itu. Kalau dahulu Odin boleh dikatakan sangat berbudi bahasa dengannya tetapi lama-kelamaan lelaki ini jadi letih mungkin. Ah, macamlah Nina tidak tahu, lelaki ini pernah cuba hendak ‘try’ dirinya. Tetapi tidak dilayan, sebab itu kau berdendam. Kutuk Nina dalam hati.

“Alah, orang mintak tolong sikit, banyak aje bunyinya. Bukannya bos tak bayar kau. Dapat duit, kan. So, diam ajelah. Tak payah banyak cakap.”

“Hey, watch it! I’m the Costner to you Houston. So please, show some respect!”

“Ain’t getting any!” balas Nina sengaja mahu mencari pasal dengan Odin. Dia bukannya tidak pandai hendak berterima kasih tetapi apabila lelaki ini tidak habis-habis mahu berkelahi dengannya, dia jadi dongkol juga. Malas dia hendak bersopan-sopan sangat dengan Odin ini.



Imbas kembali

Izz Karami memberhentikan kereta di bahu jalan. Hummer hitam milik Rex tersidai di bahu jalan bersebelahan dengan Toyota Hilux miliknya yang dipandu Ken. Nina yang ada disebelah hanya meninjau-ninjau sahaja. Tangannya menyeluk poket.

“Kita buat apa dekat sini?” tanya Nina.

Izz tidak menjawab, dia memandang ke belakang. Sid muncul dengan bunyi deruan enjin motor yang bingit. Polis sahaja lebih tapi ‘rem’ motor macam mat rempit sahaja lagaknya.

“Mereka dekat sini?” tanya Sid.

“Kalau ikut koordinat yang Rex hantar. Ya. Lagipun kereta mereka kat sana,” balas Izz sambil menunjukkan 2 buah kenderaan pacuan empat roda itu.

“Tunggu apa lagi?” tingkah Sid.

“Kejap, minah ni macam mana?”

Sid terdiam sekejap. Kalau diikutkan tadi dia hendak berkata, “tinggalkan sahajalah dekat sini,” kerana dia tidak kisah apa-apa lagi. Ari ada di dalam hutan sana. Dia perlu datang menyelamatkannya dengan heroic entrance yang bergaya. Namun mengenangkan mereka tidak boleh membiarkan penjenayah seperti Nina ini lepas bebas dan melarikan diri, dia kena berfikir juga sekejap.

“Bawaklah masuk dalam sekali. Tangan terikatkan. Tak ada masalah. Ari dan Adni ada dekat dalam tu, rasanya itu yang lebih penting, Izz.”

~~

Kia Sportage yang dipandunya memasuki sebuah persimpangan yang jalannya kecil. Masuk ke jalan kampung mungkin. Dia melihat semula koordinat yang diberikan kepadanya. GPS sudah menunjukkan tempat yang ditujuinya tidak jauh lagi daripada sini. Sempatkah dia? Harap-harapnya sempatlah sebelum terjadi apa-apa. Kalau mati perempuan itu, apa yang hendak dia jawab dengan Edwin. Haru sungguh!

Peta pada GPS menunjukkan dalam 2 kilometer lagi dia akan sampai ke tempat yang dituju. Dia yang juga datang daripada Perlabuhan Klang sebentar tadi menggunakan jalan pintas untuk ke sini. Kalau ikut jalan biasa, mahu sejam lagi baru dia boleh sampai ke sini. Sedangkan Nina perlu dia selamatkan dengan kadar segera, dia tidak boleh menunggu lebih lama lagi. Dia perlu cepat ke sana. Dia sampai ke kawasan kebun getah yang agak jauh daripada penempatan terdekat di sini. Bagus juga, tak ada orang maknanya kerjanya akan jadi lebih senang. Pistol yang disemat di belakang seluar diperiksa. Masih ada di situ. Dia tahu alat itu ada tetapi dia hanya mahu memastikan ia betul-betul ada di situ.

Sampai...

Dia berada pada kedudukan bertentangan dengan koordinat tepat Nina. Daripada GPS yang dimodifikasi dengan speksifikasi perisikan itu dia tahu, Nina tidak bergerak ke mana-mana. Dia masih duduk diam di situ. Poket seluarnya bergetar dengan bunyi korus ‘Apo Kono Eh Jang’, sebuah lagu dengan dialek Negeri Sembilan. Terkejut dia sekejap mendengarnya. Huhh! SMS daripada perempuan yang menyusahkan itu. Nina.

‘Lama lagi ke engkau?!’

Eh, tahu merungut sahaja perempuan ini? Aku dah bersusah payah datang hendak menolong kau, banyak pula bunyinya! GPS di tangan segera ditukar mode daripada mode kenderaan kepada mode pejalan kaki. Hanya ada beberapa ratus meter sahaja daripada sini. Hmm, jalan lurus sahaja kalau mengikutkan peta elektronik tersebut tetapi keadaan muka bumi tidaklah disertakan sekali. Kalau ada sungai meranduklah dia ke sana. Hendak buat macam mana. Dah nasib! Tanpa berlengah dia berlari ke arah di mana signal Nina semakin kuat.

Kebun yang besarnya lebih 100 ekar itu mempunyai bentuk muka bumi yang tidak sekata. Kadang-kadang rata dan landai, kadang-kadang berbukit. Ada pro dan kontra. Pronya adalah jika mereka mahu mengelak musuh, banyak tempat yang boleh mereka manfaatkan sebagai tempat persembunyian. Kontranya adalah boleh membuatkan mereka cepat letih untuk terus berlari di bahagian berbukit.

~~

Izz memegang tangan Nina yang sudah terikat itu. Walaupun bukan mahram, dia terpaksa kerana tidak mahu perempuan ini melarikan diri. Sid berada di hadapan mereka menjadi kepala jalan. Dia sedang menelefon adik iparnya itu. Nampaknya jauh juga mereka masuk ke dalam kebun getah ini.

“What? Kau cakap betul-betul, Jan!” suara Sid tiba-tiba menongkat satu oktaf lebih tinggi.

Izz yang ada di belakangnya berubah wajah mendengar suara marah Ziyad Sidqi. Sidqi masih berdiam diri mendengar penerangan Fauzan namun daripada wajahnya, jelas menunjukkan yang dia terganggu.

“I won’t call myself a part of this act kalau aku tak boleh selamatkan Ari! Kau ingat aku ada banyak sangat masa ke? Aku nak cakap dengan Rex,” kata Sid semakin nanar tidak dapat menahan rasa.

Izz masih berdiam memerhati. Sama juga Nina. Dia lagilah hanya boleh berdiam diri sahaja. Sid memalingkan tubuhnya memandang Izz. Dia rasa meradang. Apa jenis pelan yang Izz Karami ada lagi sekarang. Mereka tetap juga tidak ada di sini. Ke mana Adni dan Ari berada sudah tidak mereka tahu lagi. Hatinya makin dipasung dengan rasa bimbang. Galaunya meninggi menongkat langit. Risaunya mengebah pantai sabar. Sekali lagi dia remuk dengan rasa gusar. Gusar akan sesuatu yang buruk telah berlaku kepada Ari. Tidak! Janganlah sampai terjadi apa-apa!

Dia masih berdiam kala ini. Rasanya Jan sudah menyerahkan telefon kepada Rex dan Sid sedang mendengar apa yang perlu Rex terangkan. Dia menagih sebuah penjelasan.

~~

Odin mengintai dari jauh. Dia nampak di mana Nina. Dengan seorang lelaki. Bukan 2 orang lelaki. Seorang sedang bercakap di telefon. Bonikular night vision yang dia gunakan membolehkan dia melihat segala-galanya dengan jelas. Malam ini walaupun bulan terang, tetapi ada kawasan-kawasannya di dalam kebun getah ini yang tertutup dengan daun. Cahaya purnama tidak dapat menembus.

“Should I bang it now? Or shouldn’t I?” tanya Odin kepada dirinya sendiri. Dia berkira-kira hendak menggempur. Dia tahu dia orang lelaki itu bukannya lelaki biasa. Dia pernah melihat di dalam komputer Nina. Mereka-mereka ini adalah suami-suami 2 daripada the 4 A’s yang hendak sangat didapatkan oleh bos aka kekasih gelap Nina itu, Raphael.

Sejenak dia teringatkan sesuatu. Dia tahu ada beberapa orang lagi manusia yang ada dalam tempat ini. Nina ada memberitahunya tadi. Dia tidak mahu bertembung dengan mereka jadi dia harus bertindak sekarang. Hmm, memang tidak dapat dielak lagilah nampaknya. Odin berlari dengan laju tetapi cukup senyap sehinggakan tidak kedengaran pada pendengaran sesiapa. Izz dan Sid memang tidak dapat mendengar langsung. Namun naluri seorang bekas pembunuh upahan seperti Izz memberitahu mereka tidak bersendirian sekarang. Ada yang memerhati. Kalau Rex dan yang lain-lain dia tidak kisah tetapi kalau orang lain, itulah yang menjadi masalah. Namun, orang lainlah yang dia fikirkan.

“Rex, I don’t think this could get any better. I thought you’re good at this, but it seems that...,” belum sempat dia menghabiskan kata-kata, Izz memegang lengannya.

“Sid, calm down. Someone’s here,” kata Izz mahu lelaki pegawai polis itu menenangkan diri.

“Yeah, right. Siapa?!” balas Sid marah-marah. Hatinya panas tidak dapat disejukkan.

Izz memandang ke suatu arah, dia melihat sesuatu. Bukan, seseorang! Dengan mata yang membuntang, dia menerpa ke arah Sid. Pegangannya terhadap Nina dilepaskan sekaligus. Perempuan itu berdiri betul-betul di hujung sebuah tebing yang agak curam. Hampir terjatuh dia dek kerana keseimbangan badan yang sudah terjejas.

“Sid, tunduk!” jerit Izz Karami mahu menyelamatkan rakannya itu. Sid tidak faham apa yang dibuat oleh Izz tidak berbuat seperti apa yang disuruh.

~~

Odin melihat lelaki bernama Izz Karami cuba menyelamatkan Ziyad Sidqi menyumpah dalam hati. Tembakannya tersasarlah nanti.

Betul seperti tekaannya namun tersasar yang dimaksudkan adalah peluru itu tidak mengenai kedua-dua lelaki itu. Entah mengapa wajah Odin kelihatan gembira dengan senyuman tipis, walaupun tembakannya tidak mengenai sasaran. Mungkin dia berasa yang dirinya sudah ditangkap. Nampaknya, mereka sudah tahu aku ada di sini. Pertarungan ini memang tidak boleh dielakkan.

Odin berlari ke arah yang bertentangan daripada tempat Izz dan Sid berada. Dia mahu melakukan serangan hendap tetapi mengenangkan mereka berdua dan setelah mereka tahu kehadirannya di sini, dia perlu memikirkan rancangan yang lain. Rancangan untuk kekal hidup dan membawa Nina keluar daripada tempat ini. Ah, rancang ke tidak, dia perlu menyelamatkan Nina. Kalau tidak mati dia dengan Edwin nanti.

Izz memapah Sid bangun. Mereka berjaya mengelak peluru itu daripada meratah tubuh mereka.

“Siapa?” tanya Sid.

“The hell would I know!” sergah Izz. Marah dia mendengar soalan bangang seperti itu. Manalah dia tahu siapa.

Sid terdiam mendengar reaksi lelaki penyiasat persendirian itu. Namun dia tidak menjawab kerana dia berasa dia tidak patut melawan kata lelaki yang telah menyelamatkan nyawanya.

“Nina, kau tahu siapa yang serang tadi?!” tanya Izz kasar.

“Mana... manalah aku tahu,” jawab Nina tergagap-gagap tetapi masih kedengaran convincing. Izz tidak menunggu lama sebelum mengeluarkan Beretta 92FS yang dia semat dibelakang seluar. Sid melihat juga meniru perkara yang sama. Selaras Sig Sauer Pro SP2022 sudah berada dalam genggamannya. Gaya seorang pegawai polis yang sedang menunggu untuk melepaskan tembakan terserlah pada wajah Sid. Serius sahaja.

“He might come out anywhere, Sid. Be careful. Don’t let your guard’s down.” Nasihat berbaur amaran itu sudah Sid faham sangat. Dia pernah ditembak sedikit masa dahulu. Sakitnya masih dapat dia bayangkan. Untuk melaluinya sekali lagi, tidak sanggup rasanya. Jadi, dia perlu menjadi lebih berhati-hati. Jangan biarkan kerisauannya mempengaruhi diri.

~~

Odin yang berdiri disebalik sebatang pokok getah yang sederhana besar tahu pokok itu tidak boleh lama-lama menyorokkan susuk tubuhnya yang tegap itu di situ. Nasib baiklah jaraknya dengan mereka-mereka itu dalam beberapa belas pokok jauhnya. Jadi, dalam keadaan yang kelam ini,, untuk mencarinya dengan cepat mungkin sukar. Pun begitu, dia masih perlu bergerak pantas dan berhati-hati. Dia tidak menyarung baju kalis peluru. Jadi, dia perlu lebih berhati-hati. Dengan langkah yang perlahan, berhati-hati dan memandang ke bawah untuk mengelak diri terpijak ranting kayu, dia beralih ke belakang pokok getah yang lain pula.

Bayang Nina semakin dia nampak. Pistol daripada jenis Armalite AR-24 yang dia semat di dalam jaket denimnya itu tadi, dikeluarkan semula. Dia sedia menembak kepala mana-mana lelaki itu kalau dia terpaksa.

Mata Nina melilau mencari di mana Odin. Dia tahu yang menyerang kedua-dua Sid dan Izz itu sudah tentunya Odin. Namun dalam keadaan yang agak kelam ini, matanya masih belum mampu mencari kelibat lelaki itu. Dalam pada masa mencari di mana Odin, Nina terpijak satu ranting kayu yang sudah mati reput. Masa yang sama juga, Odin terpijak ranting yang sama. Izz juga turut melakukan perkara yang sama.

Sid memaling memandang apa yang berlaku. Nina dan Izz sekadar mengangkat kening. Lega hati Odin apabila keadaan menyelamatkannya. Macam diberkati tuhan yang maha esa sahaja kejahatannya itu. Ah, jahatkah dia? Dia hanya mahu menyelamatkan seorang nyawa. Kalau Nina diserahkan kepada pihak berkuasa belum tentu lagi dia akan selamat hidup.

Dalam hibuk meladeni keadilan yang apa-apa hendak dia tegakkan itu, Odin mengintai satu peluang yang susah hendak dia dapat lagi. Terdapat sebuah busut yang agak besar di sebelah kanannya. Nina juga berada hampir dengan busut tersebut. Dia berkira-kira hendak ke sana. Cuma yang dikhuatirkannya adalah sama ada dia boleh sampai ke situ dengan kadar segera dan senyap. Tadi pun sudah terpijak ranting. Malam-malam macam ini bukannya nampak sangat. Kalau dia terpijak lagi, maknanya Izz dan Sid akan tahu di mana dia berasa. Ah, pergi matilah. Dah tak ada masa ini, kalau-kalau orang lain datang ke sini. Memang masaklah dia dan Nina. Tanpa berlengah, dia berlari ke arah busut tersebut. Nina akhirnya mengesan dia mana Odin berada sudah agak dekat dengannya. Tetapi malangnya, Izz Karami juga sudah tahu pendatang yang asing itu cuba menerpa ke arah mereka. Kelongsong peluru terkeluar daripada trigger bermakna tembakan sudah dilepaskan. Odin pantas mengelak dengan naluri kuatnya. Arah tembakan Izz tersasar kerana Odin sudah meneka ke mana Izz akan menembak. Dia rasa dia selamat namun dia tidak lupa akan adanya lelaki bernama Ziyad Sidqi di situ. Apa yang dia tahu tentang lelaki itu adalah dia seorang polis yang berkaliber dan tentunya seorang penembak yang jitu. Peluru daripada Sig Sauer Sid meronta-ronta mahu keluar daripada kandangnya. Tembakan laju itu bagaimana pun berjaya dipatahkan oleh Odin. Beberapa inci sebelum kepalanya bersepai terkena tembakan Sid, dia melepaskan tembakan dari arah bawah ke atas. Betul-betul mengenai peluru daripada Sig Sauer Sid dalam tiga inci jaraknya dari hidung mancung Odin. Nasib baik sungguh, kalau tidak memang arwahlah dia. Dia tahu, nasib baik hanya datang sekali. Jangan hendak mencabar maut lagi!

Alang-alang dah nampak, lawan sahajalah. Odin menerpa ke arah Sid dengan laju. Bahunya menghentak dada Sid dan lelaki itu tersungkur ke belakang namun Sid dengan pantas memeluk tengkuk Odin, tidak mahu melepaskannya. Izz memanfaatkan peluang yang ada dengan menerajang lelaki itu dengan kuat. Sid melepaskan pelukannya kerana tendangan Izz memang sangat kuat sehinggakan ada darah merah yang keluar daripada mulut Odin. Pun begitu, wajah mengalah tidak ada pada raut lelaki yang bernama Pagan God Nordic itu. Pistol yang digenggam masih di situ. Segera dia melihat Nina. Perempuan itu boleh dijadikan umpan. Dia berguling 2 kali merapati Nina. Dengan wajah yang bertopeng, Nina tidak dapat memastikan rupa siapa di dalam, tetapi dia yakin itu Odin. Pisau ditarik keluar daripada sarung yang diikat di kaki. Terus dia mengacukan benda tajam itu ke leher perempuan itu.

“Selangkah dekat dengan aku, perempuan ni mati!” jerkah Odin.

“Kau rasa dia penting pada aku?” jawab Izz laju. Memang Nina tidak penting tetapi adakah Izz mahu memperjudikan sebuah nyawa. Walaupun seteruk mana Nina, dia bukannya seorang manusia yang boleh duduk diam melihat pembunuhan dilakukan di hadapan matanya.

“Still, kau nak aku bunuh dia?” duga Odin.

“Bunuhlah!”

“Zack... please, aku tak nak mati lagi,” rayu Nina dengan airmata yang turun murah.

Odin menukarkan pistol sebagai senjata semula. Muncung pistol ditunjalkan ke tepi kepala Nina. Wajah perempuan itu berat dengan tangisan. Izz hanya memandang kosong. Benarkah dia tidak kisah matinya perempuan itu di situ. Jika Nina mati, bagaimana pula dengan Dinie, akan lebih senangkan Dinie boleh diselamatkan. Sekejap, Izz bergolak dengan persoalan demi persoalan.

“Izz,” tegur Sid yang juga tidak mampu berbuat apa-apa. Dia masih menunggu apa yang ingin Izz katakan.

Di belakang tubuh Nina, pisau yang dipegang Odin meliris tali yang diikat ke tangan Nina. Putus, tetapi Odin memegang tangan Nina. Tidak mahu perempuan itu mengalih posisinya. Odin dapat rasakan yang permainan psikologi yang diciptanya sudah berjalan dengan lancar. Ideanya itu datang secara tiba-tiba. Jarak antara mereka yang tidaklah dekat sangat itu membolehkan dia berbisik ke telinga Nina. Namun, dia berlakon dengan baik sekali.

Odin mencium telinga Nina dengan wajah yang nampak ghairah, walaupun bertopeng kait, Izz dan Sid dapat melihat yang Odin itu lelaki gatal. Ah, lantaklah apa korang hendak fikir, janji rancangannya berjalan lancar.

Nina juga berlakon dengan cukup cemerlang. Dia membuat ala-ala geli sedangkan dia tidak rasa apa-apa pun sebenarnya. Selama ini di sudah jenuh bertukar-tukar pasangan dan sekarang pun hidupnya tak ubah seperti pelacur yang dijaga Raphael. Tetapi apabila yang berbuat demikian sekarang ini adalah Odin, sedikit sebanyak dia jadi tidak berselera juga. Bukannya lelaki itu tidak kacak, Odin amat bergaya dengan susuk tubuhnya yang tegap itu. Apa yang membuatkan Nina geli adalah sikap Odin yang memenyampahkan itu. Ada sahaja yang hendak dia sungutkan ke telinga Nina.

“Zack, please!” desah Nina sekali lagi.

Izz masih berdiam. Dia tidak tahu apa yang perlu dia balas.

“Macam ini, serahkan diri kau, aku serahkan perempuan ni. Tujuan aku ke sini bukannya untuk perempuan ini, aku cuma hendakkan kau, Izz Karami. Bini kau tak mahu buka mulut. Jadi untuk dia buka mulut dia, aku perlukan kau,” ujar Odin nyata sekali menipu.

“Ari bagaimana?!” jerkah Sid tidak mampu berkata lain selain itu.

“Oh, perempuan itu. Entah... apa yang aku tahu, dia tak berguna!” balas Odin secara refleks menipu sekali lagi.

Sid jadi berang serta-merta. Kurang ajar sungguh budak ini. Adakah sesuatu yang buruk telah terjadi kepada Ari. Kalau mereka sudha berkata yang Ari tidak ada guna maknanya tidak ada sebablah mereka mahu menyimpan Ari lagi. Minda waras Sid yang sudha tercemar dengan imej darah membuatkan pemikirannya semakin bergelaru. Dia risaukan apa yang dia fikirkan berlaku. Tidak, tolonglah jangan itu!

“Relaks, Sid! Bini kau hidup lagi, selagi Izz mahu korbankan dirinya, InsyaAllah Adni dan Ari boleh terus hidup. Sekarang macam mana. Aku cuma nak Izz sahaja. Tapi sebelum itu aku nak kau cederakan kaki kau dahulu Izz. Susahlah aku nak cempung kau balik kalau kau masih boleh lari, kan?” jelas dan suruhnya kepada Izz.

Ziyad Sidqi memandang Izz Karami. Benarkah apa yang diberitahu oleh Odin? Atau sekadar perangkap. Kalau benar sekalipun, sanggupkah dia mengorbankan seorang kawan untuk menyelamatkan isterinya sendiri. Tidak, ia tidak perlu terjadi sebegitu. Tidak ada nyawa yang perlu melayang. Sid cuba berfikir positif tetapi sepositif mana boleh dia jadi dalam keadaan nanar seperti sekarang. Dan akhirnya dia nampak hanya pilihan mengorbankan Izz adalah satu-satunya pilihan. Namun, dia tidak sanggup menyatakannya, dia tidak sanggup mengkhianati Izz.

“Aku akan ikut kau, lepaskan perempuan tu.”

“Izz!”

“Sid!”

“Izz, it’s like jumping into hell’s pit!”

“Kalau itu yang perlu aku lakukan untuk selamatkan Adni.”

“Tapi, Izz... kita tak pasti sama ada apa yang dia kata tu betul ataupun tak?”

Izz tidak menjawab soalan Sid itu. Dia juga memikirkan kemungkinan itu. Apa yang dikatakan oleh lelaki yang tidak dia kenali itu memang boleh diragui. Tidak ada sebarang jaminan tentang apa yang dikatakannya itu benar atau salah. Namun untuk mengambil risiko tidak mempedulikan langsung apa yang diberitahu, Izz terasa takut pula. Kalau benar apa yang dikata, bagaimana? Bagaimana jika Adni dan Ari diapa-apakan kerana dia tidak mahu memberi kerjasama?

“I don’t want to pull an all-nighter here any much than you do, so... if you please?” kata Odin sambil pistol di kepala Nina ditunjal kuat sekali lagi. Teraduh perempuan itu. Dalam hati Nina menyumpah hebat, mengenangkan mereka sedang berlakon terpaksalah Nina bertahan sedangkan kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia sepak kelangkang lelaki itu sampai senak.

Izz bersedia untuk menyerahkan diri. Dia berjalan ke hadapan tetapi Sid sekali lagi menahan dengan memegang lengannya.

“Izz, it doesn’t have to be this way.” Sid terasa diri cukup hipokrit kala ini. Dalam hati dia sendiri tahu yang cara ini yang boleh memberi sedikit harapan untuk Ari dikembalikan kepadanya semula tetapi masih lagi dia cuba menyelamatkan Izz daripada mengambil tindakan yang bodoh macam ini.

“Sid, you know this is the only way,” balas Odin seakan tahu pergolakan dalam jiwa Sid. Tajam betul pendengaran lelaki ini. Jarak antara mereka bukannya dekat sangat tetapi dari jarak itu dia mampu mendengar.

Izz memandang Sid. Daripada pandangan mata Izz, Sid tahu yang lelaki itu cuba mengatakan sesuatu kepadanya. Sid, jangan risau. Aku yakin boleh lepaskan diri daripada semua ni. Itu yang ingin dia beritahu kepada Sid melalui komunikasi telepati. Tetapi gagal untuk Sid fahami. Wajahnya nampak keberatan.

“Sorry, dude. I have to,” balas Izz kepada kenyataan Sid sebentar tadi. Dia terpaksa.

Sid jadi kehilangan kata. Dia hanya melihat sahaja Izz melangkah menjadikan dirinya pertukaran untuk menyelamatkan nyawa Nina, perempuan yang tidak ada kena-mengena dengan mereka. Setidak-tidaknya buat Sid, dia tidak tahu sejarah yang pernah terjadi antara Izz dan perempuan itu.

“Just let her go,” kata Izz separuh jalan dia hampir kepada Odin.

“Cederakan diri kau. Tembak kaki kau sendiri,” arah Odin mahu lelaki itu melakukan sesuatu yang mustahil. Mana mungkin Izz mahu berbuat demikian.

“Kau gila ke?!” suara Sid pula yang kedengaran membantah permintaan bangang Odin.

“Izz, just pull one trigger to your leg, tak susah, kan?” Odin memberi cadangannya sekali lagi.

Izz Karami mengeluarkan pistolnya, kalau lelaki ini mahu dia berbuat demikian dia akan buat asalkan dia dapat bertemu Adni semula. Dia tidak akan rasa keberatan.

“Izz, jangan buat gila!” teriak Sid namun sedikit pun Izz tidak melayan. Sebaliknya, bunyi pistol terlepas dan kedengaran kuat. Izz terjelopok jatuh ke tanah tetapi aduhan sakit tidak kedengaran walaupun jelas di wajah Izz menahan diri daripada menjerit. Dia mencengkam bahagian paha yang ditembak sendiri. Darah kelihatan membasahi seluar jeansnya. Sid beristigfar melihat temannya itu. Sampai begitu sekali sanggupnya Izz untuk menyelamatkan isterinya. Kalau terpaksa rasanya dia sendiri akan berbuat demikian tetapi dia langsung tidak menyangka Izz benar-benar akan berbuat demikian.

“Good,” balas Odin melihat apa yang disuruh dilakukan tanpa teragak-agak. Dia menyambung semula namun cakapnya ditujukan kepada Nina, “you’re free to go.” Dengan senyum sinis di bibir. Nina berjalan dengan tangan masih dibelakang ke arah Sid. Saat melintasi Izz hatinya berbalam. Sakit hatinya melihat lelaki itu. Sakitkah kakinya? Ah, peluru sudah memamah daging, gila tak sakit.

Sampai sahaja kepada Sid. Nina tersengih mengejek. Lelaki itu jadi hairan. Dia tidak menyangka langsung apa yang akan dilakukan oleh Nina. Kaki Nina naik ke dada Sid. Terdorong lelaki itu ke belakang namun dia masih boleh bertahan. Mulut sudah keluar kata sumpahan namun Sid tidak lupa daripada mempertahankan diri sendiri. Nina sudah sedia hendak melakukan serangan keduanya. Kaki diangkat tinggi, belakang tumitnya sudah hampir terkena kepala Sid. Kalau tidak sempat ditahan memang benjollah kepala Sid. Sid terjatuh ke bawah walaupun berjaya menangkap kaki Nina. Nina mengilas dirinya dengan membuat satu pusingan di udara, kakinya yang sebelah lagi tepat mengenai pipi Sid. Dengan serangan itu, Sid terlepas langsung pegangannya terhadap Nina. Perempuan itu mengambil kesempatan yang ada untuk melarikan diri.

Izz yang berada dekat dengan Odin juga bukannya berada dalam keadaan yang lebih baik. Namun rasanya dia telah berjaya menipu Odin. Peluru pistol itu tadi hanya mengenai sipi kulitnya sahaja. Oleh itu dia menyerang lelaki bernama Odin itu dengan laju. Tumbukannya tepat mengenai muka Odin. Namun Odin juga bukanlah calang-calang lawan. Walaupun sakit pipinya ditumbuk, dia sempat menahan sedikit dengan lengannya. Sebelah lagi tangan melepaskan penumbuk ke perut Izz. Dan tanpa membuang lebih banyak masa dia mencempung tubuh Izz yang bukannya kecil itu lantas mencampakkannya ke tebing yang curam itu. Kalau Izz tidak cuba melawan rasanya dia sudah sampai ke bawah betul. Namun kesempatan yang ada itu cukup untuk membuatkan Odin melepaskan diri.

“Sorry, Izz... Adni tak ada dengan kami! Someone else have them,” ujar Odin membuatkan Izz kekeliruan, buat apa hendak dia beritahu kepada Izz perkara itu. Kalau benar Ari dan Adni tidak berada dengan mereka, dengan siapa pula? Entah mengapa saat memandang wajah lelaki yang telah melemparkannya ke gaung itu, Izz dapat merasakan bahawa Odin tidak menipu. “Good luck saving them!” sambung Odin sebelum dia menurut langkah Nina yang sudah hilang.

Dengan payah akibat ngilu luka di pahanya, Izz mendaki semula ke atas. Wajah nanar Sid adalah perkara pertama yang dia lihat sebelum apa-apa.

“Tak guna!” ujar Sid penuh rasa bengkak dalam hati. Pipi digosok terasa pedih. Ada luka di situ. Izz juga menggosok perutnya tanda senak.



Imbas kembali tamat



Marah sungguh Odin dengan kelakuan Nina. Dia yang sudah bersusah payah ke sini menyelamatkannya, tidak diberikan penghargaan langsung, kalau tak ada kata terima kasih sekalipun, belanjalah dia minum teh tarik dekat mamak. Tak pun Big Mac dekat McDonald. Ini tidak, diperlinya lagi adalah!

I’m the Costner to you Houston bermakna ‘aku ni penyelamat kau’ kalau hendak diikutkan secara figuratif. Kerana Kevin Costner adalah bodyguard kepada Whitney Houston dalam filem dengan judul sama, The Bodyguard.



Tamat bahagian 17.

Comments

Popular posts from this blog

Hantu Kak Limah Balik Rumah

BEN ASHAARI kata AKU TAK SUKA , AKU TAK SUKA LAA !

KEBAIKKAN COMPLEX CARBS