novela the curious case of whatever 11
Assalamualaikum,
kepada semua yang menunggu-nunggu TCCOW, Jahn upload bahagian ke-11 khas untuk tatapan anda... harap anda menyukainya, hehehe... jangan ditanya bila bahagian ke-12... masih ditulis lagi dalam masa Jahn mengejar masa untuk menulis perkara lain, ngehhhh, macam sibuk sangat, kan... sibuk sebenarnya..okehlah, jangan mengarut banyak sangat... sila baca dengan hati yang sabar... keh keh keh...
Part 11
Act 51
Afi bangun dalam payah. Dia tetap harus mencari jalan selamat untuk naik ke atas walau apapun yang terjadi. Walau apapun yang telah terjadi dan akan terjadi untuk lebih tepat. Biarpun Rif sudah tidak ada lagi dengannya, dia harus terus hidup. Dia harus kekal bernyawa demi Khadijah Nasuha dan Aishah Humaira. Dia perlu kuat walaupun tangisannya tak henti-henti berlagu rancak dan tak kenal sudah.
Afi memandang langit yang makin menggelap. Sudah hampir maghrib. Ya Allah, kerana hal ini dia terpaksa tidak solat dengan sempurna. Mengingatkan hal itu, dia berikrar jika dia lepas daripada keadaan ini dia akan berpuasa 3 hari. Nazarnya dalam hati. Dia berteduh di bawah sebuah pokok. Letih benar rasa tubuhnya.
Afi menangkap bunyi-bunyian yang serasanya sudah amat dekat. Geseran lalang membuatkan dia pasti dia tidak berseorangan. Siapa? Adakah Rif? Ya Allah, demi nama-Mu, memang itulah yang aku harapkan. Memang itulah yang aku inginkan lebih daripada apa-apa sekarang namun Afi ingin menjadi realistik, dia melihat sendiri bagaimana Rif tidak mampu keluar daripada kenderaan yang sudah meletup tadi. Memikirkan perkara itu bagaimanapun tidak menghilangkan debarnya dengan keadaan sekeliling. Siapa yang berjalan dalam semak samun ini? Adakah orang atau binatang, atau lebih teruk lagi… ahhh, yang bukan-bukan sahaja difikirkan aku! Telah Afi sendiri pada dirinya.
“Kereta tu memang dah habis terbakar. Patutnya mereka dah mati rentunglah tu. Kita nak cari apa lagi dekat sini?” kata seseorang dengan nada tegang.
“Kau yakin mereka berdua tu dah tak ada? Kau nampak ke mayat mereka kena bakar? Tak, kan! Jadi, baik kau ikut je apa yang aku suruh, pastikan yang mereka betul-betul dah tak ada dalam hutan ni!” pekik lagi seorang yang kedengarannya juga sama-sama tertekan sekarang.
Afi yang mendengar hampir hendak gugur jantung. Kenapa sampai macam ini sekali nasibnya? Apa yang sudah dia buat sampaikan dia menjadi buruan sebegini? Abang… tolong Afi, abang. Rayu Afi dalam hati, mengharap Jimmy mampu datang menyelamatkannya. Tetapi masakan Jimmy dapat mencarinya di sini. Jimmy sendiri belum tentu tahu di mana dia berada.
Tanpa sedar Afi terpijak sebatang ranting. Walaupun kecil, bunyinya rapuh dan terang kedengaran. Dua lelaki yang memburunya mendengar. Afi sudah cuak, dia tahu mereka boleh mengesannya sekarang. Dalam hati nama Allah sahaja yang disebut. Merayu doa agar dia dilindungi daripada segala macam malapetaka. Namun, dalam keadaan sekarang… logikkah dia akan terlepas?
“Siapa tu? Kenapa menyorok lagi? Keluar sahajalah!”
Afi tidak menjawab walaupun sudah basah dirinya bermandi peluh kegerunan. Sudah lencun tubuhnya disimbah rasa takut. Afi tahu yang takut dan gerun patut hanya pada Tuhan tetapi dalam keadaan seperti ini, siapa yang berada dalam situasi yang sama juga akan berperasaan sepertinya.
Langkah demi langkah berbunyi mendekati Afi yang masih bersembunyi di balik pokok yang besar itu. Geser rumput dengan kasut jelas kedengaran. Hati Afi berdebar menunggu masa dirinya ditangkap.
Bunyi tapak kaki itu makin dekat, makin menggoncang jantung Afi. Dia redha… kalau dia mati hari ini, setidak-tidaknya dia pernah bahagia dengan Haiyan Rifqi… dia berharap amalannya sudah cukup untuk menikmati syurga bersama suaminya. Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, dosa suamiku, dosa ibu bapaku, tempatkanlah kami nanti dalam syurga-MU, Ya Allah. Lindungilah anak-anakku. Jadikanlah mereka muslimah sejati. Berkatilah hidup abangku… berikanlah dia ketabahan hati menerima segala kesulitan… berikanlah wanita yang baik untuknya, tuliskanlah takdir yang terbaik buatnya dan cinta hatinya…
Doa yang terlafas jelas dalam minda dan hati itu mengakhiri segalanya… apa yang Afi lihat selepas itu memang mengejutkannya…
Act 52
Alia tidak sedar apa yang berlaku. Bila dia dibawa ke sini juga dia tidak sedar. Yang pasti, perempuan itu adalah yang terakhir dia lihat sebelum di tidak sedarkan diri. Dia memicit kepalanya yang masih sakit. Sebenarnya dia masih mamai dan tidak berapa peka dengan keadaan sekeliling. Jauh sedikit di sudut bilik, seorang perempuan berdiri memandangnya dengan telefon bimbit di telinganya.
“Nanti aku akan ke sana, jangan risau, semua hal-hal tersebut aku dah selesaikan,” kata wanita itu perlahan tidak ingin Alia sedar dia ada di situ.
Alia tumbang semula apabila merasakan tubuhnya sangat lemah. Di atas katil bersaiz queen itu, dia kembali tidak sedarkan diri. Agak kuat juga dadah yang diberikan kepadanya semata-mata tidak ingin Alia menjadi resposif terhadap persekitarannya sekarang. Seperti ingin merahsiakan keberadaan Alia, perempuan itu menarik nafas lega Alia belum lagi mampu sedar sepenuhnya. Dia mendekati tubuh Alia yang kaku seperti tidur yang panjang.
Sudah beberapa ratus kali Taufik mendail nombor telefon bimbit Alia namun satu pun tidak berjawab. Ke mana sahajalah isterinya ini? Dalam keadaan sekarang, Taufik tidak marah kepada Alia, sebaliknya dia risau. Walaupun perit untuk diakui namun dia pasti yang ada sesuatu yang tidak baik berlaku kepada Alia. Alia sendiri tahu keadaan mereka dalam ancaman, jadi dia tidak akan berbuat gurauan sebegini. Taufik cuba untuk bertindak rasional namun makin dia cuba makin jera rasa hatinya. Bagaimana hendak dia bertenang jika dia tahu Alia dalam bahaya.
Tanpa berfikir lanjut, Taufik segera mendail nombor orang yang paling dia rasa layak untuk diminta bantuan. Dia tidak rasa dia mampu lakukan ini sendiri. Dia perlukan bantuan lelaki yang pernah bergelar lelaki bermata sedih itu. Dia perlukan Izz Karami.
Nina mendekati Alia. Dia tahu perempuan ini menyimpan semua rahsia tentang apa yang dilihatnya. Tentang apa yang benar-benar berlaku malam itu. Dan tentang siapa yang terlibat. Nina sedar betapa bahayanya untuk membiarkan Alia kekal hidup tetapi dia bukannya seperti orang-orang jahat yang lain itu. Akan sanggup membunuh biarpun tidak pasti apa yang benar-benar berlaku. Setidak-tidaknya dia perlu bertanya untuk tahu keadaan sebenar. Ahh, sebenarnya dia tidak akan membiarkan Alia dicederakan walau sedikit pun…
Kelopak mata Alia bergerak-gerak menahan kantuk dan silau. Nina sedar apa yang berlaku, segera dia berundur barang selangkah dua. Walaupun ada beberapa orang pengawal di luar, dia tetap rasa risau. Walaupun Alia tidak mampu untuk lari dia tetap juga perlu berwaspada.
“Thanks, Izz… aku tak kisah apa nak jadi pada aku asalkan aku dapat selamatkan Alia. Aku tahu pasti dia pun dah kena sekali!” kata Taufik dalam nada yang bersungguh-sungguh.
Di sebelah talian sana, Izz tidak dapat tidak perlu menerima permintaan Taufik kerana memang dia ada hak untuk turut serta dalam misi menyelamat itu jika benar Alia menjadi tahanan.
Adnan Taufik mematikan talian telefonnya. Dia tahu jika dia hendak menyertai Izz, dia perlu lakukan sesuatu. Polis perlu dialihkan daripada hal ini, dan dia rasa dia ada cara untuk membuatkan tumpuan polis terganggu sedikit biarpun tidak banyak tetapi kesempatan itulah yang dia perlukan. Nombor Tuan Raziff yang sempat disimpannya pada hari itu didail dan dengan lancar dia memberitahu apa yang patut polis lakukan.
“ASP Raziff, saya ada maklumat tentang kes berprofil tinggi yang awak handle sekarang. Kalau awak nak selesai ke ni, awak kena siasat kematian Alan Chan. Awak perlu buka balik kes dadahnya. Siasat semula kes rompakan bersenjata di KLIA itu. Barulah awak dapat tahu siapa yang kaitkan semua keadaan dengan apa yang sudah terjadi sekarang.”
Panggilannya dimatikan. Taufik berlari ke tingkat atas dan membuka vault yang menyimpan sesuatu yang dia tidak pernah tunjuk kepada Alia. Walaupun sudah mengambil lesen untuk menggunakannya, dia tidak pernah lagi menggunakan benda yang bahaya ini. Sepucuk pistol Heckler & Koch USP buatan Jerman. Memang dia teringin untuk menggunakannya namun bukanlah bagi sebab membunuh orang. Namun hatinya tetap berfikir yang dia akan terpaksa melakukannya jika Alia hendak diselamatkan.
Act 53
Sepanjang melalui Lebuhraya Persekutuan mengekori Toyota Caldina yang dipandu Hafriz dan dinaiki Suri, Jimmy merasakan yang dia tidak sedap hati. Jantungnya berdebar-debar dan peluhnya tidak kering-kering. Selalunya apabila dia berasa begitu akan ada perkara yang tidak elok yang akan berlaku tetapi dia tidak ingin ingatkan sangat. Seboleh-bolehnya dia cuba mengabaikan sahaja perasaannya yang entah apa-apa itu. Namun tidak tahu kenapa, perasaan kurang senang itu makin kejap dalam hatinya. Makin terasa tidak enak.
“Abang, tolong Afi!!!”
Tidak semena-mena bayangan Afi menerjah pandangan, sangat jelas seperti Afi benar-benar berada di hadapannya. Jimmy menggenggam brek motorsikal yang ditunggangnya serta-merta akibat terkejut dengan apa yang baru sahaja terjadi. Decit tayar yang bergeser dengan tar menghasilkan bunyi yang bingit sekali. Nasib baiklah tidak ramai yang menggunakan lebuh raya ini sekarang, kalau tidak… kemalangan sia-sia sahaja.
“Hahhh…haaahhh…haaa!!!” nafas Jimmy tidak teratur. Hatinya yang kejap berasa tidak senang merebak menjadi bimbang yang teramat sangat. Adakah ada sesuatu yang terjadi kepada Afi? Adakah ini sebabnya dia tidak tenang. Ya Allah, janganlah timpakan apa-apa musibah buat adikku!
Hafriz dan Suri berhenti di penjuru jalan. Mereka keluar daripada kereta terkocoh-kocoh untuk memeriksa keadaan Jimmy yang berhenti secara tiba-tiba. Dengan langkah yang laju, mereka mendapatkan Jimmy.
“Oit, kenapa ni, dude?” tanya Hafriz
“No… nothing,” jawab Jimmy.
“Nothing?!!! Dah tu kenapa berhenti macam ni tengah-tengah jalan, banyak keretalah!” marah Suri pula.
Hafriz memegang lengan Suri yang emosional tidak bertempat itu. Dia membalas semula, “Can you ride like this? Kalau tak awak naik kereta sahaja.”
“No, no… it’s okay. Jom teruskan jalan… Rex mesti dah nak bergerak sekarang.”
Hafriz hanya mengangguk walaupun dia sedar Jimmy sedikit lain. Dia tidak tahu kenapa tetapi ada sesuatu yang mengganggu mindanya.
Tanpa banyak bertanya lagi, mereka bergerak ke tempat yang hendak dituju.
Act 54
Amie menggenggam jemari Jad yang masih kaku dalam pembaringan. Jemari yang kasar-kasar lembut itu terasa hangat, cukup untuk menggembirakan hati Amie. Walaupun sudah sedikit baik namun kecederaan yang dialaminya bukannya sedikit dan bukannya kecil. Syukur kepada Allah kerana masih memberikan Jad kesempatan untuk dipinjamkan kepadanya lagi di dunia ini. Untuk terus menjalani hari-hari muka.
Sesekali Jad yang lena dalam tidur ibarat koma itu bergerak-gerak dan mengigau sendiri. Kesan ubat belum habis lagi membuatkannya dia tidak lagi dapat memberi respon penuh dengan keadaan.
Melihat keadaan Jad itu, Amie teringat akan peristiwa pahit yang berlaku kepadanya. Terus ingatan itu membawa Amie kepada rasa bimbang terhadap Ari, ada rasa sedih, terkilan dan resah dalam diri. Bagaimana hendak dia hidup tenang selepas ini jika dia tahu Ari masih bersama dengan bedebah-bedebah yang tidak berperikemanusiaan itu. Mudah-mudahan pihak polis mampu menyelesaikan masalah ini sebelum terlambat.
Pintu bilik wad ini diketuk seseorang di luar. Amie memaling pandang. Rasanya dia tahu siapa. Pagi tadi dia menerima panggilan telefon daripada Inspektor Susan. Dia ingin datang dan berbual-bual. Namun Amie bukannya bodoh sangat untuk tahu yang kedatangan Susan adalah untuk menyoal siasatnya. Maklum sahajalah, memang dia sahaja mangsa yang terselamat dan bebas sekarang ini.
“Puan Susan, silalah masuk… boleh kita berbual di sini sahaja… saya tak nak tinggalkan suami saya sorang-sorang.” Pintanya lembut. Dengan senyum, Susan mengangguk tanda setuju. Dia tahu dan faham dengan perasaan Amie… terlalu sayang rupanya wanita ini terhadap suaminya. Dengan pantas ingatannya tertujah kepada Raziff. Mula dengan itu, mukanya berona merah serta-merta. Namun dia cukup pandai hendak menyembunyikan daripada Amie. Malulah kalau perempuan di depannya ini bertanya kenapa dia malu-malu gedik sendiri. Siapa yang susah? Dia jugak!!
Susan melabuhkan punggungnya pada kerusi yang ada di sebelah Amie dan menghulurkan salam. Dia datang hari ini pun tanpa berseragam polis. Tidak ingin membuatkan Amie tidak selesa mungkin.
“So, Amie macam mana sekarang?” tanyanya ingin tahu.
“Okaylah… ngeri hendak diingatkan tapi syukurlah… Jad ada dekat sini. Itu dah cukup untuk saya, puan…”
“Please… just call me Susan…” tingkah Susan sambil tangannya menyentuh lembut paha Amie. Amie mengangguk sedikit.
“So, boleh saya tanya sedikit… tentang apa yang berlaku?” dengan berhati-hati Susan bertanya. Kalau boleh dia hendak Amie berkongsi dengan rasa yang selesa dan bukannya terpaksa.
Tidak ada jawapan pada mulanya. Namun Susan masih tetap menunggu. Beberapa saat selepas itu barulah Amie mengangguk dan berkata ya.
Raziff mendail semula nombor telefon yang diterimanya tadi. Oleh kerana nombor tersebut tiada dalam simpanan contactnya, dia tidak tahu siapa yang menelefon sebentar tadi. Tetapi untuk mendapat tahu siapa pemilik nombor berkenaan bukannya susah sangat. Dia sudah menyuruh anak buahnya mendapatkan contact number berkenaan. Sebentar lagi mungkin dia akan dapat tahu siapa pemanggilnya itu.
Susan, sejenak dia teringatkan wanita bakal tunangnya itu.
“Jadi, Amie memang tak kenallah siapa yang culik Amie dan Ari?”
Amie menggeleng perlahan. Tiba-tiba telefon bimbit Susan berbunyi.
“Sorry,” Susan berlalu sebentar mencari sudut yang lebih privasi. Raziff menelefon mungkin atas dasar kerja yang sulit untuk dikatakan di depan orang. Beberapa langkah meninggalkan Amie, barulah dia bercakap.
“Ya, Tuan?” tanyanya penuh profesionalisme.
“Susan, saya nak awak tanya sesuatu tentang rompakan bersenjata di KLIA yang berlaku hari itu, dan tanya juga sama ada dia kenal Alan Chan atau tidak.”
“Tanya Amie, tapi bukankah kes itu dah ditutup?”
“Tak apa, awak tanya sahaja dulu. Mungkin ada benda lain yang kita terlepas pandang selama ini.”
Tidak ingin menidakkan apa yang disuruh, Susan terus mengiyakan sahaja kata-kata kekasih merangkap ketuanya itu. Susan masuk semula ke kamar pesakit dan dia terus bertanya.
“Amie, rompakan bersenjata di KLIA sebelum ini, awak ada di tempat kejadian? Awak kenal Alan Chan?”
Soalan-soalan itu membuatkan dia terkedu. Dia belum bercerita tentang hal itu. Ya, dia harus memberitahu Susan perkara tersebut.
Act 55
Dengan mata yang masih lagi berasa mengantuk, dia memicit-micit kepala yang pening. Seluruh ruang bilik ini diperhatikan… ini bukannya bilik tidurnya. Ini bilik hotel kalau dia tidak silap. Sebuah suite. Siapa pula yang hendak bawa dia ke hotel lima bintang macam ini? Taufik ke? No, tidak mungkin… buat apa? Anniversary mereka bukannya around the corner pun.
Dalam mamai-mamai memikirkan kemungkinan yang ada seorang wanita keluar memasuki kamar tidur itu. Membawa secawan air minuman. Ada wajah terkejut sedikit pada rautnya. Samalah dengan Alia juga.
“Akak dah bangun?” “Siapa awak, di mana saya?” Tanya mereka serentak.
Mendengar pertanyaan masing-masing yang bertindih, wanita yang bernama Nina itu meletakkan cawan air yang dipegangnya ke atas meja. Dia tersenyum sebentar, “saya ambilkan akak air dulu, ya.”
Alia tidak menjawab. Dia hanya menunggu. Dia yakin dia tidak kenal siapakah perempuan ini. Kenapa memanggilnya kakak? Dia tidak ada adik. Adik ipar? Taufik juga tidak ada saudara lain. Habis itu? siapakah perempuan ini?
Nina datang sambil membawa segelas jus oren. Dia duduk di sebelah hujung katil dekat dengan kaki Alia. Tangannya menghulurkan jus oren tersebut dan ianya diraih oleh Alia. Nina ingatkan Alia hendak minum tetapi Alia hanya meletakkannya di atas meja sebelah katilnya sahaja. Pandangan Alia tidak lari daripada wajah putih Nina.
Sesekali ternampak Nina senyum. Alia masih pelik.
“Akak dah lupa dengan saya?” tanya Nina dengan perasaan yang berbalam. Entah apa rasanya.
Alia makin takjub. Dia memang tidak tahu siapa perempuan ini… dan sekarang dia ditanya dengan soalan sama ada dia ingat atau sudah lupa dengannya. Siapa yang ada masalah di sini sebenarnya? Dia ataupun perempuan bernama Nina ini?
“Saya tak ingat… awak siapa?”
“Tak apalah kalau kak Alia tak ingat. Tapi saya ingat semuanya dah cukup. Akak, sekarang ni… buat masa ni… akak tak boleh ke mana-mana. Akak kena tinggal dengan saya. Mereka nak cari akak. Saya takkan benarkan mereka apa-apakan akak, saya janji!” kata Nina bersungguh-sungguh.
Alia cuba menyambungkan titik-titik tidak bersambung antara satu sama lain mengikut apa yang telah dikatakan Nina. Mereka mencari Alia. Siapa mereka? Adakah orang yang sama yang menculik Amie dan Ari?
“Awak?” tanya Alia…
“Haaa… maaf, akak tak ingat saya… nama saya Nina.”
“Nina…?” sahut Alia sekali cuba mengingati nama itu. Sia-sia… memang dia tidak ingat.
“Hmm, sia-sia je kalau akak cuba ingat nama tu… saya tak pernah beritahu nama saya, kan…”
“Siapa awak sebenarnya?” tanya Alia dengan nada yang curiga. Dia dapat mengesan senyum pada wajah Nina seperti tahu sahaja yang mindanya terkesankan sesuatu. Adakah Nina ini dia? Gadis remaja pada waktu itu?
Nina mendekati Alia lalu memegang tangan wanita itu. Jemari halus itu digapai dan dibelai lembut-lembut.
“Akak dah selamatkan saya dulu… sekarang giliran saya pulak…”
Mendengar kata-kata Nina, Alia terus mengingati peristiwa yang berlaku lebih sedekad lalu.
“Dik… adik dah selamat… jangan risau… lelaki tu tak akan kacau adik lagi,” kata Alia dalam nada tercungap.
Budak perempuan yang berusia dalam lingkungan 13 tahun itu hanya diam. Dalam matanya ada sesuatu yang tidak dapat Alia bayangkan apa. Tetapi melihatkan lelaki yang bergelar David, bapa tiri gadis itu mengejarnya bak orang gila membuatkan dia yakin ada perkara yang teruk disimpan oleh gadis ini.
Nina memandang Alia tanpa sebarang reaksi pada wajahnya. Suaranya langsung tidak kedengaran sejak daripada tadi selain jeritan kecil sekejap-sekejap. Terus-terang, Alia sendiri tidak pasti sama ada budak perempuan ini boleh bercakap atau faham apa yang dikatakannya. Namun melihatkan perlakuan gadis remaja ini dia tahu, Nina sangat lega kerana berjaya lari daripada belenggu lelaki durjana yang membuatkan hidupnya umpama neraka dunia.
Alia memandang budak perempuan itu dengan pandangan yang berbalam. Kenapa dia diam sahaja, langsung tidak berkata apa-apa.
“Akak belikan air, ya… tunggu dekat sini,” kata Alia dengan penuh lembut.
Namun belum sempat Alia pergi, Nina memeluknya erat-erat. Seakan tidak ingin melepaskan wanita itu. Alia senyum, walaupun Nina tidak berkata apa-apa tetapi dia tahu gadis itu suka padanya.
“Tunggu sini kejap… kamu mesti haus, kan… kejap je… jangan ke mana-mana tau…”
Nina sekadar melihat Alia pergi ke seberang jalan dan memasuki sebuah kedai serbaguna. Dia senyum sendiri.
“Terima kasih… terima kasih sebab selamatkan saya daripada binatang tu… tapi saya tak boleh ikut akak, nasib baik ayah tak nampak muka akak, saya tak boleh bersama akak kalau tidak ayah akan jumpa akak, dia akan buat yang bukan-bukan pada akak…selamat tinggal akak,” ucap Nina dalam hati. Dengan langkah yang berat, cuba dia ringankan untuk meninggalkan Alia saat dia tidak sedar. Biarlah kita berpisah di sini sahaja… ada masa kita jumpa lagi…
“Adik? Adik tahu tak akak separuh gila cari adik waktu itu, akak even pergi cari ayah adik semula… tapi dia kena langgar dengan kereta waktu dia kejar kita hari itu,” beritahu Alia bersungguh-sungguh apabila dia ingat siapa pemilik muka dia hadapannya ini.
Ada wajah kesal pada raut Nina tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Sudah takdir mereka berpisah.
“Sekarang kita dah jumpa balik…”
“Boleh rupanya adik kakak yang sorang ni bercakap… ingatkan dulu tu bisu…”
Nina ketawa sedikit sambil megesat air mata yang menitis setitis dua. Gembira apabila Alia masih tidak lupa rupanya.
“Itu tak penting, kak… sekarang ni… apa yang penting adalah keselamatan akak… akak tak boleh keluar dari sini buat sementara waktu, sampailah masa mengizinkan. Saya minta akak jangan tanya apa-apa sebab saya tak boleh beritahu apa yang akak nak tahu, tapi percayalah kak… nyawa akak… priority saya sekarang ini. Itu je yang akak perlu tahu.”
Alia terdiam. Dia yang terlupa sedikit tentang keadaan dirinya sekarang diam bungkam. Nina tahu sesuatu yang dia tidak tahu. Adakah ini bermakna Nina juga tahu kekalutan yang berlaku sekarang? Apa pula kaitan Nina dengan semua ini?
p/s - bahagian ke-12, tunggu sahaja, okay? hehe...
Comments