novela the curious case of whatever 4

Assalamualaikum semua,

Jahn rasa Jahn terlampau lemah sebab biarkan kak Dhiya mempengaruhi Jahn untuk menge-post entry ini... tapi... okaylah, sila nimati The Curious Case of Whatever 4 untuk malam ini...

tapi korang jangan mintak Jahn post lagi dah lepas ni okay... nanti dateline takleh catch up, Jahn still tulis novela ini!!!

anyway..please enjoy this one...





Part 4

Act 16

2 orang lelaki yang duduk bermain kad itu dikejutkan dengan bunyi pintu yang ditolak kasar. Mereka yang asyik berjudi itu tadi terus bangun dek kerana terkejut dengan kedatangan tetamu ini. Apakah gerangan hendaknya mamat ini datang malam-malam buta sebegini. Katanya hanya akan mengambil perempuan itu malam esok.

“Rodi, aku nak perempuan tu. Amie Najla’!” kasar permintaannya sama dengan rupa paras yang dia ada.

“Bos tahu ke tidak ni? Kau nak buat apa, Alek? Kau jangan nak mengada-ngada. Perempuan-perempuan tu ‘aset’ bos kata, jangan buat apa-apa selagi dia tak bagi arahan.” Balas Rodi yang tahu apa sebab musababnya, Alek inginkan Amie. Bukannya dia kisah sangat namun arahan ketuanya wajib dia jaga. Hmm, bukan main setia lagi, malangnya setia kepada kemungkaran dan kejahatan.

“Aku tahulah apa aku nak buat. Aku nak soal siasat dialah ni. Raphael la yang suruh ni. Banyak betullah ko ni nak tanya.” Alek memang tidak membahasakan Raphael sebagai ‘boss’ walaupun lelaki itu memang bekerja di bawah arahan Raphael. Rodi tidak tahu kenapa namun ada sesuatu yang ganjil tentang hubungan bosnya itu dengan Alek.

Rodi yang malas hendak membalas cakap hanya mencampakkan kunci ke arah Alek, lelaki melayu yang ada iras cina itu menyambut senang sahaja kunci itu. Ada senyum pada mukanya. Dalam hati, Rodi sudah tahu nasib Amie Najla’ memang tidak baik kalau si Alek ini yang datang mencarinya. Kalau hendak diibaratkan antara mereka, orang-orang bawahan Raphael ini, jahatnya Alek itu sama sahaja dengan hantu syaitan. Dia tahu yang Alek ini kaki perempuan dan menghadapi masalah ketagihan seks, dadah dan arak. Malahan, Alek juga terkenal dengan sikap baran dan gemar membunuh asal ada kesempatan, pantang ada tugasan membunuh yang disuruh oleh Raphael, pasti dia akan menjadi orang pertama yang menawarkan diri. Raphael sendiripun suka kerana memang lelaki bernama Alek itu sememangnya hati kering. Tak makan takut dan tak kenal kasihan. Sejahat-jahat dia pun, dia belum sanggup lagi hendak jadi seperti Alek, atau mungkin dia tidak punya kekuatan untuk menjadi sejahat itu.

Dalam sibuk Rodi berfikirkan perkara remeh itu, Alek sudah sampai ke bilik gelap tanpa tingkap yang menempatkan tahanan mereka. Dia hanya inginkan Amie Najla’ sahaja buat masa ini. Kalau bukan kerana terdesak seperti ini, dia tidak akan buat apa yang tidak disuruh Raphael. Walaupun dia tidaklah suka sangat mengikut arahan Raphael namun sedikit sebanyak dia masih takutkan apa yang Raphael akan lakukan padanya andai dia ingkar. Namun kali ini dia nekad. Dia perlu keluar dari masalah yang dia sendiri cipta.

Anak kunci dijolok kepada lubangnya dan diputar kasar tak menyempat. Pintu dibuka dan cahaya menerangai bilik yang sedari siang tadi tak bercahaya. Kelihatan Amie dan Ari sedang memisat-misat mata dek kerana serangan cahaya yang cerah itu. Batang tubuh seorang lelaki yang tidak dikenali dilihat mereka berdua. Wajah yang membelakangi cahaya itu tidak jelas kelihatan apatah lagi dengan mata yang masih menyesuaikan diri dengan pancaran terang cahaya lampu kalimantang itu. Amie dan Ari tidak kelihatan takut. Itu yang membuatkan Alek jadi bengkek. Tidak takutkah mereka dengan aku? Jahanam!

“Amie Najla’! Kau ikut aku sekarang!” arah Alek dengan nada yang menjengkelkan Amie amat-amat sangat.

Permintaan, arahan ataupun suruhan Alek langsung tidak diturut. Masakan Amie sebodoh itu untuk mengikut ke mana lelaki ini mahu membawanya. Apalagi dengan Arisa Nur Adalia yang masih memeluk tubuh sendiri di sebelahnya. Takkan dia hendak tinggalkan wanita itu keseorangan.

“Kau faham Bahasa Melayu ke tidak? Aku kata ikut aku, mendapat karang!” ugutan Alek masih bagai masih belum kedengaran di telinga Amie. Dalam hati Amie menyumpah-nyumpah, “pergilah mampus kau!”

“Degil!!!”

Alek meluru terus mendapatkan Amie yang duduk menyandar ke dinding. Direntapnya tudung Amie sampai tercabut dan koyak. Kepalanya ditolak ke depan. Tersembam muka Amie di atas lantai. Ari hanya mampu melihat. Namun bukannya lama sebelum tubuhnya mula memberi respon. Ari mendapatkan Amie dan memeluk rapat insan yang dianggapnya kakak itu.

“Kenapa dengan kau ni, hah?!!!” jerita Ari memarahi tindakkan biadap Alek.

Ari juga tidak terkecuali dari menjadi bahan belasahan jantan tak guna itu. Tulang pipi Ari terasa bagai hendak pecah ditendang laju-laju.

Ada sedikit darah yang mengalir dari hidung Ari. Giliran Amie pula yang mempertahankannya.

“Kau nak bawak aku ke mana?” Tanya Amie bagai mengalah, dia tidak sanggup melihat Ari diseksa sebegitu lalu sanggup mengikut kehendak lelaki ini.

“Bagus! Bagus! Kalau awal-awal macam inikan bagus, tak payah aku sepak terajang korang!” apa yang dicakap Alek tidak langsung mencerminkan tindakannya sekarang. Sekali lagi Ari dan Amie menerima penangan jantan dayus ini. Apalah nasib mereka berdua disepak-sepak dan ditumbuk-tumbuk tanpa belas. Alek mengheret Amie keluar dan menerajang Ari buat kali terakhir sebelum mengunci pintu. Terdengar pekik lolong Ari merayu Amie tidak dibawa pergi. Namun semuanya dibalas sepi sahaja. Amie sudah tidak berdaya lagi hendak melawan, dia bukannya perempuan yang kuat untuk menahan rakus dan buasnya kelakuan Alek.

Alek mengambil sehelai kain dan dikoyaknya untuk mengikat mulut Amie. Bukan itu sahaja tangan Amie turut dijerut kasar. Untuk menyukarkan dia melarikan diri. Walaupun Alek yakin Amie tidak akan mampu hendak menyelamatkan diri namun dia tetap juga harus berjaga-jaga. Perempuan ini duit! Jangan biar dia terlepas selagi dia tidak menerima habuannya. Rodi dan seorang lagi kawanya hanya melihat Amie diseret keluar dari rumah kecil di dalam kebun pisang ini.

Amie mendengar jeritan Ari yang masih dikurung. Tiba-tiba dia tersedar dan keluar dari ketakutannya, kalau dia takut, bagaimana pula dengan Ari? Tidak takutkah dia? Akan baik-baik sahajakah Ari tanpa dia di situ? Tidak, Ari pasti tidak akan okay! Amie cuba meloloskan diri untuk kembali ke dalam rumah itu. Untuk Ari! Namun Alek lebih pantas, “Jangan nak mimpi!!!” rambut Amie direntap kasar. Kepala lututnya menghentak perut Amie dan tangannya menghentak tengkuk Amie seakan aksi karate. Amie pengsan terus.

Alek melihat penuh marah. Puas hati aku. Memang padan dengan muka kau! Tubuh kaku Amie diangkat dan dicempung ke atas bahu. Sudah tiba masanya untuk dia menuntut bayaran yang sepatutnya. Bibir mengukir senyuman yang berkisarkan jahatnya nafsu setaraf syaitan. Alek tertawa penuh semangat sambil Amie dicampakkan ke tempat duduk belakang Nissan Navara yang dipandunya ke sini tadi.

Sudah tiba masa untuk bertemu Jad Imran. Sudah tiba masanya untuk pergi jauh!

Act 17

Bandar Kinrara.

‘Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi,’ ayat ini mungkin adalah ayat yang paling dibenci Sid masa ini. Sudah hampir 50 kali dia menelefon dan hanya suara operator itu sahaja yang kedengaran. Sid jadi bimbang tak semena-mena. Tidak pernah Ari berbuat begini. Tidak pernah Ari tidak menjawab panggilannya. Tidak pernah telefon bimbitnya berbunyi sebegini menelefon Ari selama ini. Dia jadi risau yang teramat sangat. Jam di dinding sudah menunjukkan angka 8, tetapi langsung tidak ada tanda-tanda yang Ari akan pulang setelah ke rumah Alia. Alia, haruskah Sid menghubungi wanita itu pada jam-jam begini. Hmm, lebih baik ditanya kalau-kalau Ari masih di situ. Segera telefon bimbit Nokia N8 miliknya dicapai. Nombor kak Alia dicari dan didail kemudiannya. Tut, tut... sepi sahaja yang menjawab panggilannya. Hmm, kenapa Alia tidak menjawab. Mungkin dia tidak berada dekat dengan telefon sekarang ini.

Telefon bimbit yang digenggam diletakkan atas meja kopi. Ziyad Sidqi menghenyakkan tubuh tegapnya yang hanya berkain pelekat dan ber-T-shirt putih ketat atas sofa. Segera Astro B.yond PVRnya dibuka. Rancangan terakhir yang ditonton Ari masih lagi dibiarkan terhenti. Segera butang play ditekan. Tersenyum sedikit Sid menutup hati yang lara, sepi bersendirian. Ari suka menonton rancangan yang bercorak travel and living sebegini. Mengenangkan kesukaan Ari, hati Sid dipaut rasa tidak senang sekali lagi. Walaupun sudah dekat setengah ratus kali dia menelefon namun tetap lagi dicubanya buat kesekian kalinya. Masih, tidak ada suara yang ingin dia dengar. Eh, baru Sid perasan, kalau operator yang berbunyi maknanya... sama ada telefon berada jauh daripada kawasan liputan atau telefon bimbit itu dimatikan. Dia kenal benar dengan Ari, biasanya dia akan mengecas handphonenya penuh-penuh sebelum keluar, apatah lagi dengan telefon Samsung Galaxy 5-nya itu yang memang bateri tahan lama. Tak mungkin bateri habis, dan takkanlah Ari mematikan telefon sendiri. Dia tahu yang Sid akan selalu menelefon. Adakah kemungkinan yang ketiga? Ari berada di kawasan luar liputan? Di mana sahajalah kawasan luar liputan di bandar-bandar seperti ini? Dan lebih penting lagi, buat apa dia berada di tempat-tempat sebegitu?

Otak Sid sudah dipaut rasa tidak selesa. Janganlah satupun yang dia telah itu menjadi kenyataan. Sudahlah kepalanya masih belum kemas dengan semak samun yang ditinggalkan si jahanam Incubus itu!

Bunyi telefon bimbit mengejutkan lamunannya yang panjang memikirkan Arisa Nur Adalia. Nombor yang muncul pada skrin telefon tiada dalam simpanan memori telefon mahupun kad sim. Sid mengangkat keningnya sendiri memandang nombor tersebut, rasanya tidak pernah lagi nombor ini menghubunginya. Sid menyambut panggilan itu dengan sapaan ringkas, “hello?”

Tiada suara yang didengari Sid. Siapa pula yang hendak bermain-main dengannya malam-malam begini.

“Hello, siapa ni? Boleh jangan nak main-main tak, ha? Orang dahlah sedia serabut sekarang ni!” emosi Sid jadi sedikit terganggu menerima panggilan daripada orang gila seperti ini.

Tut, tut, tut... talian dimatikan. Jelas, kalau tidak salah nombor cuma ada orang gila yang suka mengacau orang sahaja. Sid mencampakkan telefon bimbitnya ke atas sofa dan dia bersiap-siap untuk solat Isyak. Walau macam mana risau sekalipun, dia tidak akan lupa untuk bersembahyang. Hati yang resah akan lagi teruk jika tidak mengingati Allah S.W.T., Sid segera ke bilik air untuk mengambil wuduk. Air paip yang suci lagi menyucikan itu diratakan pada bahagian-bahagian wajib wuduk. Selesai sahaja mengambil air sembahyang, Sid membaca doa selepas wuduk. Diri yang berkecamuk tadi terasa sedikit tenang. Dia terus ke kamarnya untuk menunaikan solat Isyak.

Seboleh-bolehnya dia cuba untuk kusyuk tetapi entah kenapa kekusyukkannya tidak seperti selalu. Ada sesuatu yang mengganggu konsentrasinya walaupun dalam sembahyang. Seperti ada yang tidak kena. 4 rakaat itu terasa lebih lama daripada yang sepatutnya. Namun tidak dipedulikan sangat oleh Sid akan kacau bilau perasaannya itu. Dia ikhlas menyembah Allah S.W.T dan dalam hati dia berharap yang Tuhan memberinya ketenangan walaupun sedikit buat masa ini. Alhamdulillah, doanya sampai terus dan dia menyudahkan solat Isyaknya dengan baik sekali.

Dia berwirid agak lama daripada biasa. Sengaja hendak ditenangkan perasaan hati yang tidak berapa sedap itu. Usai menyembah Tuhan, Sid kembali ke bawah untuk menonton TV dan menunggu Ari pulang. Sid menuruni tangga agak laju dan hampir-hampir sahaja dia tergelincir. Nasib baik dia sempat berpaut pada penghadang tangga. Kalau tidak percuma sahaja dia mendapat sakit. Di sofa, telefon bimbit yang ditinggalkannya berdering beberapa kali. Lagu Kenny Rogers yang bertajuk ‘Lady’ itu kedengaran. Sebuah lagu yang romantik, seromantik cinta mereka, namun kalau hendak diikutkan lagu itu lebih sesuai dengan cerita hidup Alia dan Taufik. Tapi hendak buat macam mana, dia suka lagu tersebut sampaikan menggunakannya sebagai nada dering.

Nama seorang pegawai polis berpangkat detektif menghubunginya. Detektif Syaza mengucapkan salam apabila panggilanya disambut Sid.

“Waalaikumusalam, Detektif. Ada apa awak telefon saya malam-malam ni?”

“Tuan Ziyad Sidqi. Saya Detektif Syaza bercakap. Kami temui kereta yang dipandu isteri Tuan, Puan Arisa Nur Adalia. Cermin tempat duduk pemandu pecah dan kami menemui telefon bimbit yang rosak akibat hentakkan. Kemungkinan besar milik isteri Tuan. Boleh Tuan datang ke balai dengan kadar segera untuk prosedur pengecaman?”

Sid tidak memberi reaksi yang berlebihan walaupun nama isterinya yang disebut detektif yang berkhidmat di bawah kendaliannya ini. Walaupun dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terkejutnya dia namun Ziyad Sidqi tidak ingin kehilangan composure.

“Saya akan sampai dalam masa setengah jam.”

Act 18

Tidur malam ini sangat-sangatlah tidak menyenyakkan buat Izz. Hawa malam yang biasanya dingin mendamaikan tidak terasa saat ini. Air-cond yang dipasang seperti biasa bagai tidak berfungsi walaupun jelas terpampang angka 16 darjah Celsius.

Sebetulnya hatinya sahaja yang tidak sedap, tidak tenang. Dia merasakan sesuatu yang tidak diberitahu kepada Dinie. Ahh, masakan dia hendak menakut-nakutkan isterinya itu. Daripada mengundang panik yang bukannya sedikit, lebih baik dia rahsiakan daripada pengetahuan Adni dahulu. Lagipun, dia sudah meminta tolong Tony untuk menyiasat perkara tersebut.

Izz menegakkan duduknya disebelah Dinie yang lena bagai bayi yang nyenyak tidurnya. Menatap wajah kesayangannya itu sudah cukup membawa rasa cinta yang tersimpan jauh di dasar hati timbul ke permukaan. Senyum Izz tak henti menemani gerak matanya memerhati the sleeping beauty. Kasihnya dia terhadap Dinie sangat dalam daripada kasihnya dia kepada dirinya sendiri.

Dia teringat apa yang diucapkannya siang tadi.

“Apa yang dah jadi dulu tu cukuplah sekali, saya tak nak Dinie lalui apa yang pernah kita jalani dulu.”

Ya, apa yang telah mereka lalui memang tidak ingin Izz ulangi lagi. Cukuplah hanya dengan dengki khianat Murni dan Pot. Biarlah berhenti dengan khilaf Khairy Hashimi sahaja. Bukannya dia tidak lagi ingin atau tidak mampu melindungi Dinie, dia sanggup menerima segala keperitan hanya untuk keselamatan Dinie. Izz cuma tidak ingin Dinie menderita lagi.

Apa yang terjadi sekarang memang ada kaitan dengan Dinie juga. Amie kemungkinan besar sudah menjadi mangsa dan Alia juga nyata telah terdedah dengan bahaya itu. Kalau telahannya betul, Adni dan Ari juga patut menjadi mangsa juga. Sebab kesemua meraka ada kaitan antara satu sama lain. Yang dia tidak tahu adalah kenapa, dan kenapa itulah yang perlu dia cari tahu. Atas sebab itu khidmat Tony amat diperlukan kerana dia tahu sesuatu, dia dapat rasakan sesuatu.

Dia diperhatikan! Itu yang dia rasa. Itu yang mengganggu kepala otaknya sekarang. Puas dia cuba mencari dari segenap sudut tetapi dia tidak dapat menjejak orang yang memerhatikannya. Dia bukannya paranoia, tetapi kelibat seseorang memang dia perasan sangat. Tetapi apabila dicari, bayang-bayang pun tidak kelihatan.

Hati yang tidak tenang bagai ditoreh-toreh lagi dengan belati apabila Izz mengesan bunyi yang aneh daripada tingkat bawah rumahnya. Namun dengan tenang Izz mengatur langkah. Pistol yang ada di dalam laci dalam almari pakaiannya dia ambil perlahan-lahan tanpa mengeluarkan sedikit bunyi. Diam-diam Izz keluar dari bilik dan memastikan dia mengunci pintu kamarnya dari dalam. Setidak-tidaknya, Dinie tidaklah terlalu mudah terdedah dengan bahaya.

Bunyi orang berjalan sangat jelas kedengaran. Izz menuruni tangga penuh berhati-hati. Pistol yang sedia dipegang diperkemaskan. Apapun kemungkinan, Izz tidak akan membiarkan keselamatan Dinie dan Iman diperjudikan. Kalau terpaksa membunuh sekali lagipun dia sanggup. Hal ini bukannya boleh dibawa main-main.

Dari bunyi gerak kaki yang dia didengari, Izz tahu bukannya seorang sahaja yang memecah masuk kediamannya. Kedengaran bunyi pintu sliding dibuka. Izz bersembunyi di belakang dinding. Kelibat 2 orang manusia yang tidak dia kenal kelihatan. Siap bertopeng. Mereka seperti mencari sesuatu. Adakah mereka sekadar perompak sahaja?

Telahan itu benar apabila Izz nampak guni besar yang dibawa. Mati-mati dia ingatkan sesuatu yang amat-amat buruk tadi. Pistol yang kemas dipegang disisip di bahagian belakang pinggang seluar pendeknya. Izz memandang suis lampu yang tepat di hadapan matanya. Dengan sengih yang masih berbaki dia memetik suis tersebut dan keadaan ruang tamu menjadi terang benderang.

“Opocot, omak kau!!!” latah salah seorang daripada perompak itu menyebabkan rasa terkejut itu makin berjangkit kepada kawannya yang seorang lagi itu.

“Lah, orang nogori ke? Ambik je? Tak nak bayar?” Tanya Izz bergurau saat melihat ditangan perompak itu ada PS3 yang biasa terbiar bersepah di ruang tamu.

Kedua mereka kelihatan terpinga-pinga. Seorang perompak yang tidak berkata apa dari tadi mengundur sedikit. Izz tahu benar yang dia ada helah tersendiri. Tekaannya mengena apabila dengan laju perompak itu mengeluarkan pisau Rambo yang tersisip di kaki, posisi yang sama dengan cara dia sendiri. Perompak itu menerpa Izz tapi sayangnya, Izz jauh lebih laju mengelak dan menepis. Pisau yang ada dipegang terjatuh ke lantai. Segera Izz menyepaknya jauh-jauh. Izz tanpa menunggu lama terus menumbuk perut lawannya dan menghentak sikunya tepat pada pipi sebelum satu rising knuckle finishing disudahkan buat perompak durjana itu. Ada darah merah yang sedikit mengiringi rebah si perompak yang menyerang Izz. Dagunya terasa sakit yang teramat, membawa ke kepala sehingga berpinar-pinar pandangannya. Mengikut perkiraan Izz, kalau tidak pecah tulang dagu mamat itu, retak pun boleh jadi juga dek terkena penumbuk sulungnya itu. Si perompak tumbang tak mampu melawan. Alahai, dengan tiga tumbukan pun sudah tidak berdaya melawan. Bukan main lembik lagi!

Di tingkat atas, Dinie terjaga kerana mendengarkan bunyi bising orang bergaduh. Dia memisat-misat mata yang kantuknya masih belum habis.

Mata Izz memandang seorang lagi perompak yang hanya diam kaku tanpa suara. Yang berasal dari Negeri Sembilan itu. Pintu sliding yang terbuka luar dilihatnya. Segera tanpa menunggu, si perompak mengangkat kaki. Langkahnya seperti hendak melompat kijang sahaja lagaknya. Punyalah hendak lari daripada lelaki yang sangat menakutkan ini. Izz tidak memberi peluang. Dengan laju dia mengejar dan kedengaran jerit pekik memaki hamun menyuruh berhenti. Sampai di pintu pagar yang berkunci, perompak itu cuba untuk memanjat namun Izz lebih pantas merentapnya dan menarik sehingga terjatuh lelaki itu. Wajah yang berbalut topeng itu memandang terus muka Izz yang ibarat singa kelaparan sekarang. Izz mencekak kolar baju lelaki itu dan menariknya bangun dengan kasar.

“Bang, sorry bang saya ikut kawan saya je! Saya tak ada niat nak rompak, bang!” rayunya ketakutan. Izz menyentap topeng yang menutupi wajah perompak ini.

“Ikut je? Kau cakap apa ni, woi! Kau rompak dan cakap kau hanya ikut. Janganlah nak berlakon macam ni. Kau ni muda lagi, banyak lagi kerja boleh buat, yang nak mencuri tu kenapa?” dari nada yang kasar, suara Izz mengendur sedikit. Dia lihat budak ini masih muda dan agak keliru dengan apa yang dia sudah lakukan. Lagipun, lelaki ini tidak mendatangkan bahaya kepadanya.

“Sorry, bang… saya janji tak buat lagi… tolonglah lepaskan saya… sumpah saya tak akan ulang lagi, bang!” muka penuh cuak itu membuatkan senyum Izz sedikit terjungkit. Kasihan pula dia dengan pemuda yang umurnya kelihatan sekitar awal 20-an ini.

“Ah, takde-takde… mak bapak kau tahu kau buat kerja haram ni? Kejap lagi aku hantar kau ke balai, kau pandai-pandailah settle dekat sana.” Gurau Izz walaupun dia serius untuk menyerahkan mereka berdua kepada pihak berkuasa.

“Alamak bang… tolonglah, jangan… bang! Saya terpaksa buat macam ni, bang,” rayunya lagi.

“Ah, sudah! Banyak pulak ceritanya kau ni! Mari ikut aku…” belum sempat Izz menghabiskan bicara, suatu suara menyerang pendengarannya.

“Kalau kau nak perempuan ni selamat, kau lepaskan dia!” perompak yang seorang lagi itu sedang berdiri di depan pintu rumah bersama-sama Adni. Di leher Dinie terhunus bilah pisau yang digunakannya tadi untuk menyerang Izz.

Damn it, macam mana boleh cuai sangat! Izz menyumpah dalam hati.

“Kau lepaskan isteri aku, sekarang… kalau tidak siap kau lepas ni!”

Penjahat itu tidak membalas sebaliknya dia tekankan sedikit hunusannya pada leher Dinie. “Abang…” suara Adni menahan sakit dan ngilu dari dekatnya bilah pisau itu dengan kulit lehernya.

Budak yang berada di depan Izz sekarang tetap sama reaksinya dengan tadi.

“Pergi bukak pagar tu!” arah perompak yang menjadikan Adni tebusan itu kepada kawannya. Di mata Izz budak itu kelihatan serba-salah. Takut dan memang dia hanya mengikut arahan sahaja. Izz melepaskan cekakan di kolarnya. Budak itu terus meluru ke dalam rumah dan membuka pintu pagar automatik.

“Ke kanan 10 langkah, sekarang!” arah penjahat itu kepad Izz pula. Izz akur. Dia tidak punya peluang untuk menyerang sekarang. 10 langkah disudahkan.

Dengan terpaksa, Dinie mengikut jejak lelaki yang menyekapnya itu. Wajah Izz ditatap tanpa henti. Dalam hati dia tahu yang Izz dapat dengar pintanya untuk dilepaskan. Dia yakin dengan Izz tetapi pisau itu terlampau dekat dengannya berbanding Izz saat ini.



Dengan pagar yang terbuka luas. Dia memanggil kawannya itu untuk pergi dari tempat ini. Terkocoh-kocoh budak itu mengejar. Namun Izz perlukan tebusan juga, lalu dia mearik tangan budak itu sebelum dia jauh. Rentapan yang kasar itu menyakitkan lengan dan aduhan kecil kedengaran.

“Kau lepaskan isteri aku dulu,” kata Izz. Perompak itu seakan berfikir seketika. Sejenak berfikir, Izz menyambung kata lagi, “aku tak main-main!”

Pistol yang disisip kemas di belakang sudah muncul tepat tertuju ke kepala mangsanya. Wajah Izz seakan tidak teragak-agak untuk melepaskan tembakan. Semua orang di situ termasuk Dinie sekalipun terkejut dengan tindakkan Izz. Ya Allah, Izz… mereka cuma perompak picisan sahaja. Bukannya pembunuh atau apa-apa pun.

“Izz!” suara Dinie tidak tersekat memanggil suaminya. Dia tidak ingin melihat Izz melakukan sesuatu yang tidak terkawal seperti itu lagi. Biarlah Pot sahaja orang yang terakhir menjadi korban Izz Karami, janganlah ada lagi yang lain selepas itu!

Dalam panik-panik itu, Izz terpandang satu kelibat di belakang perompak pertama tadi dan Dinie. Sah, memang dia orangnya. Memang lelaki ini yang selalu dirasainya sedang memerhatikannya.

Lelaki yang baru datang ini mencuit belakang perompak yang menjadikan Adni sebagai tebusan. Tanpa berfikir, pandangan berubah arah dan pisau yang terhunus lari sedikit jaraknya dari leher Adni.

Lelaki yang baru datang itu tidak teragak-agak menerajang perompak itu. Alangkah kuatnya tendangan itu sehinggakan terpelanting lelaki itu dekat menghadap Izz. Izz tidak menunggu lama sebelum kakinya melekat ke muka perompak yang berniat mencederakan isterinya. Bukan sekali dua, adalah dekat sepuluh sepakan yang menerjah tubuh si malang yang benar-benar silap langkah hendak merompak tak kena masa dan tempat itu. Apabila Izz sudah sedikit tenang, barulah dia berhenti. Izz sekadar melepaskan sahaja budak lelaki yang menjadi rakan subahat perompak ini pergi. Hmm, biar Tuhan sahaja yang membalas perbuatannya, andai dia insaf dan tidak akan melakukan lagi perbuatan itu, Izz sudah memaafkannya awal-awal lagi.

Lelaki yang baru sahaja muncul dalam drama ini tadi masih di situ, di sebelahnya Dinie terpana melihat Izz yang bagai kesurupan membelasah orang sehingga separuh mati. Mata Izz tertancap kepada muka pendatang ini. Walaupun tidak pernah bersua muka namun dia dapat merasakan memang lelaki ini yang selalu mengganggu privasinya sekian hari. Pistol dilaraskan menghadap lelaki itu. Adni kelihatan terkejut namun tidak lelaki tersebut. Sebaliknya dia tenang tersenyum.

“Macam ini ke cara awak balas jasa baik orang yang selamatkan isteri awak, En. Izz Karami bin Hisham?”

“I’m not sure if this is a favor you’re doing! Now let my wife go!”

“We’re not even touched, so… I can not let her go; you can only ask her to come to you.”

Dinie berjalan menuju Izz. Izz hairan sendiri. Apa tujuan lelaki ini ke sini? Sekadar untuk menolongnya sahajakah? Tetapi dia amat yakin inilah lelaki yang memerhatikannya selama ini.

Sesampainya Dinie kepadanya, lelaki itu masih tersenyum sedikit memandang hairan di wajah Izz. Hmm, patutkah aku beritahu perkara ini kepadanya sekarang?

“Zack…”

“Don’t call me that!!!” tiba-tiba sahaja Izz melenting tak tentu hala. Disebelah, Dinie terperanjat apabila suara Izz memecah ruang dengarnya yang sensitif ketika ini.

Dinie tahu kenapa Izz membentak sekuat itu. Sebabnya adalah nama Zack itu, nama itu tidak ingin dia dengar lagi, kerana itulah dia jadi begini. Tetapi Dinie tidak dapat menafikan hakikat bahawa, baru sahaja tadi dia melihat Zack. Baru tadi Zack merasuk tubuh Izz. Jadi, salahkan lelaki ini memanggilnya, Zack. Dinie memandang lelaki ini, bagaimana dia tahu nama Izz semasa bersama Black Hawk? Adakah Izz kenal lelaki ini juga? Lelaki di hadapan itu mengambil beberapa saat sebelum kembali berkata-kata.

“Saya tak ada niat nak sakitkan hati awak, Zack. Izz, Zack… they’re the same. They’re you. Although Black Hawk is no more but you’re name still on the list, you know.”

Adni yang tidak faham apa yang dikatakan hanya memerhati dan tertanya-tanya sendiri tak minta dijawab, “the list, what list?”

“Siapa kau? Apa kau nak?” Tanya Izz tanpa mukhadimah.

“Same as you, mercenary for hire. Oh, I forgot… you’re a private investigator now.”

“You’re wasting time!!!”

“Am I? Huhh…”

“Encik, terima kasih sebab selamatkan saya tadi. Rasanya kalau encik ada benda nak cakap better encik cakap sekarang. Sebabnya, selain suami saya… I think I also deserve some explaination here.” Adni memulakan bicara seriusnya.

Lelaki yang sedari tadi asyik mengusik Izz menjadi serius serta-merta. Tahu dirinya memang membuang banyak masa.

“Zack…ahhh…Izz, I’m sorry. You may not know me, but believe me I know practically everything about you… I’m a fan.”

“What do you mean?” balas Izz kehairanan.

“I’m here to ask you a favor… no, I’m offering you a lifetime opportunity you don’t wanna miss!” jawab lelaki itu tanpa menjawab soalan yang sepatutnya.

Izz terpinga-pinga. Peluang apa yang hendak ditawarkan. Kalau hendak memberinya kerja yang tidak lagi dia buat, jangan haraplah. Dia sudah cuci tangan. Namun sedikit sebanyak dia masih rasa hendak tahu juga apa yang ingin dikatakan lelaki ini.

“You can call me Rex.”

Act 19

“Awak yakin ke dia dah tak ada?”

“Sebenarnya… tak.”

“Habis tu yang kita lari macam ni sia-sia jelah?”

“InsyaAllah, tak… kakak. Kawan saya ada untuk uruskan lelaki tu. Yang penting sekarang kita kena ke parking, naik kereta dan cabut!”

“Kawan?”

Suri hanya tersenyum dalam mengah berlari itu. Dia yakin kawannya yang seorang itu mampu menyelesaikan sedikit masalah tersebut. Dia sudah merancang. Jadi tidak susah untuk menjayakan misi sulit ini seandainya setiap agenda berjalan seperti yang telah dirancangkan. Suri hanya perlu yakin kepada temannya itu sahaja. Keyakinan itu cukup kerana dia sendiri tahu reputasi dan kemampuan yang lelaki itu punyai.

Afi yang masih lagi tidak mempercayai gadis ini sepenuhnya makin berasa sangsi. Siapa pula kawannya yang akan menguruskan lelaki yang mengejar mereka tadi?



Beberapa tingkat di atas tingkat di mana Afi dan Suri berada, kelihatan seorang lelaki muda sedang menunggu di depan pintu tangga kecemasan. Dia menjangkakan orang yang dinanti akan tiba sekejap lagi. Segera penumbuknya digenggam erat dan dirinya dipersiap sedia.

“Tiga, dua...huuu, satu.”

Pintu rintangan api yang tertutup itu terbuka, kasar sahaja bukaannya. Memang jelas orang itu sedang tergesa-gesa. Sekaligus menunjukkan memang itulah orang yang ditunggu-tunggu.

“Ai, bro. Penat berlari. Takkan 2 orang awek pun tak boleh nak kejar,” kata si dia yang menunggu. Lelaki yang ditunggu pula berasa pelik, hairan yang bukan sedikit. Bagaimana pula dia boleh tahu?

“Okaylah, bro... straight to the point jelah, aku tahu kau nak kejar 2 orang perempuan yang kau perhatikan tadi but seriously, I can not let that happen. Jadi, kau kena go through aku dulu. Kalau kau mampu!”

Sang pencabar menghalakan kedua-dua penumbuknya ke arah lawannya, lagaknya tidak ubah seperti jaguh tinju. Sedikit senyuman sinis terlakar. Namun dalam hati entah siapa yang tahu. Dia sendiri tidak benar-benar yakin untuk menumpaskan lawannya sebetulnya. Hal ini kerana dia tidak ada sebarang maklumat tentang lelaki yang bakal bergasak dengannya ini.

Lawannya itu tersengeh sambil mengeluh kecil. Si pencabar sudah siap sedia. Dengan laju sang lawan meluru dan cubaan pukulan siku dilakukan terhadap pencabar. Dengan sebelah tangan dia menepis. Lawannya sekarang menjadi penyerang mula dan dia pula berubah menjadi seorang yang sekadar bertahan sahaja. Bukannya dia takut atau tidak mampu untuk menghadiahkan buah-buah serangan balas cuma dia perlu menganalisa cara lawannya menyerang supaya senang dia menumpaskannya.

Asakan demi asakan bertali arus menyerang namun pertahanan lelaki yang sudah berjanji tidak akan melepaskan pengintip ini berjaya mendapatkan Afi tetap tidak terbolos. Jelas yang dia ini bukannya calang-calang pejuang. Lawannya pula walaupun sudah kelihatan sedikit letih namun tidak menunjukkan tanda-tanda ingin beralah. Sesekali terdedah juga kelemahannya namun tidak digunakan oleh pencabar tadi untuk menyerang balas. Tetapi tidak untuk masa yang lama.

“Bosan!”

Si penyerang cuba untuk menumbuk tetapi dengan mudah tangannya dicengkam, sekaligus menghentikan kuasa pukulan yang tidaklah sehebat mana. “Arghh!!!” ada jerit yang mengatakan cengkaman itu cukup kuat dan menyakitkan.

Cengkaman tersebut dilepaskan dan satu tumbukan padu hinggap ke muka. Tersungkur penjahat itu lalu tersandar ke dinding di laluan tangga kecemasan tersebut.

Lelaki yang menang itu berjalan perlahan selamba menuju si kalah yang terduduk mengalah. Tanpa banyak bicara pistol dihalakan dari bawah dagu ke atas. Kalau picu itu ditarik alamatnya bersepailah isi kepala.

“Aku nak tanya kau sikit je, dan aku nakkan jawapan. Kalau tidak kau tahu apa yang aku boleh buat sekarang!”

“Aaa… apa kau nak tahu?”

Dalam gerun mendengar ugutan orang yang tidak dikenali itu, lelaki yang sepatutnya menjadi penjahat dalam rangka masa sekarang ini kelihatan cukup terancam nyawanya. Setiap pertanyaan dijawab tanpa berselindung kerana takut apa yang diugut akan menjadi nyata. Lelaki yang bertanya itu nampak puas hati dengan jawapan yang diberi. Seperti setiap soalan itu sudah dijangka jawapannya, dia hanya menunjukkan reaksi yang bersahaja sahaja. Butir percakapan tidak kedengaran kerana mereka tidak bercakap dengan suara yang kuat. Nasib baik juga tidak ada orang yang mengikut laluan tangga ini, dan camera CCTV juga telah siap-siap dirosakkan sebelum menunggu kedatangan penjahat ini tadi.

“Terima kasih, kau boleh bagitahu bos kau, jangan ingat dia dapat lepas. Kami akan pastikan dia terima balasan yang setimpal. Dan jangan mimpi nak apa-apakan perempuan-perempuan tu semua!”

Tiba-tiba bunyi telefon bimbit berdering. Lelaki yang menang pergaduhan itu tadi menyeluk poket dan diambil telefonnya serta dijawab selamba di hadapan lelaki yang kalah tersebut.

“Aku dah settle dekat sini, fetch aku dekat KL Sentral. Kita ada lead baru, mereka dah dapat dua orang dari empat perempuan tu… ye… yelah, Suri, aku faham, kau tengah bercakap dengan Hafriz sekarang ni, aku tahu nak buat macam mana, kau bagitahu Afi jangan cuak sangat. Bawak-bawak bertenang. Kita discuss later, tunggu dekat KL Sentral dulu, I’ll be there in no time!”

Sebelum melangkah pergi, Hafriz memandang ke arah itu sempat melepaskan beberapa tumbukan dan sekali tendang sebelum kepala penjahat itu dihentak ke dinding sekuat-kuat yang mungkin untuk membuatkannya pengsan. Lemah longlai dibuatnya penjahat itu. Dia rebah tak melihat cahaya lagi untuk beberapa jam selepas ini. Tidur sahajalah di koridor ini. Hafriz berlari menuju ke lif yang paling dekat. Apa yang dia tahu daripada penjahat itu tadi mesti dilaporkan kepada Suri dan Rex secepat mungkin.

Act 20

Jad memasukkan semula briefcase yang baru sahaja dipenuhi dengan wang berjumlah RM500, 000 ke tempat duduk belakang Toyota Harriernya. Walaupun berat hati mengenangkan penat lelah selama beberapa tahun mengumpul duit sebanyak itu namun untuk Amie dia tidak kisah. Biar hilang kekayaan dunia daripada hilang seri hidupnya.

Sejenak dia menatap telefon bimbit yang dipegangnya pada tangan kiri. Patutkah dia memberitahu Izz. Dia tahu, pasti Izz akan berang tak ingat dunia kalau Izz tahu dia melakukan semua ini tanpa memberitahu. Tetapi dia memang tidak punya apa-apa pilihan. Alek memang berniat untuk mencederakan Amie jika dia tidak mendapat apa yang diinginkannya. Bukan hanya wang sebanyak setengah juta ini sahaja yang dibawa Jad. Ada sesuatu yang perlu dia lakukan andai ingin melihat Amie Najla’ selamat tanpa diapa-apakan. Dia jadi buntu kerana dia memang tidak melakukan apa yang disuruh. Dia tidak ingin dan tidak sanggup melakukan perkara sebegitu. Lebih-lebih lagi jika ia melihatkan orang yang banyak berjasa dengannya. Jad sedar yang dia mungkin melakukan perkara yang sangat berisiko sekarang ini, dia hanya mampu berharap dan berdoa yang Alek masih boleh berdiplomasi dan meringankan syarat pembebasan Amie.

Kawasan perumahan yang belum siap ini diperhatikan sunyi. Sepi sahaja. Sesekali terdengar lolongan anjing yang menyalak memanggil bulan yang terang di langit malam. Seram malam tidak dipedulikan selagi wajah Amie tidak dilihatnya.

Telefon bimbit berdering. Jad melihat skrin LCD telefon itu. Alek!

“Hello, aku dah ada dekat sini. Keluarlah, mana isteria aku?”

“Kau tahu bersabar, tak? Bini kau ada, dalam 15 minit lagi aku sampai. Make sure aku dapat semua yang aku mintak!” sergah Alek dalam nada marah. Mungkin marahnya terhadapan Amie yang melawannya tadi masih belum reda. Panggilan ditamatkan kasar sebelum sempat Jad membalas apa-apa.

“Hello… hello! Argh!!!” deram Jad kebengangan. Hampir-hampir sahaja telefon itu dihempaskan ke atas jalan tar yang masih hitam warnanya.

Jad memandang ke sekitar kawasan perumahan ini, dia terpaksa menunggu suku jam lagi untuk melihat Amie. Rasa rindu untuk Amie makin dalam dan ada sesuatu yang membuatkan dia tidak senang hati sekarang. Dalam berfikir tentang Amie itu, Jad baru menyedari sesuatu. Dia terlampau mempercayai lelaki bernama Alek itu dan membawa dirinya ke sini sedangkan dia tidak yakin pun sama ada Amie benar-benar bersamanya atau tidak. Memanglah benar dia tidak punya pilihan lain tetapi kalau dia diperdayakan ke sini dan jika dia mati sia-sia, apakah nasib Amie?

Segera telefon bimbit dicapai, dia nekad. Kalau Izz hendak marah ataupun hendak membelasahnya sekalipun dia akan terima, bukannya dia tidak boleh melawan. Izz juga takkanlah marah sangat sampai nak mencacatkannya kalaupun dia akan dipukul, kan?

Nombor telefon Izz yang sudah ditetapkan pada nombor 3 ditekan lama. Secara automatik, telefon mendail nombor Izz.

“Hello, Izz…”

“Jad, apa yang kau dah buat ni? Dekat mana kau sekarang?”

“Izz sorry, aku tak fikir panjang… aku risau. Dia cakap kalau aku libatkan sesiapa Amie akan kena…”

“Kau relaks je dekat situ, sekejap lagi aku sampai! Jangan buat apa-apa!”

“Wait, wait, wait. You’re coming? How do you know I’m here? Izz aku just nak kau tahu yang aku harap kau dan Adni boleh take care of Amie kalau apa-apa jadi dekat aku…kau betul-betul harap dengan kau…”

Bunyi pistol menggegar ruang dengar Jad. Lebih teruk lagi pelurunya sudah menembusi tubuh Jad.

“Allahuakbar!!!” laungan agung itu kedengaran keluar dari mulut Jad, mujurlah pada saat ajal bakal menjemput dia masih mampu mengingati Maha Pencipta segenap semesta.



Di talian sebelah Izz pula, dia mendengar segala-galanya. Daripada bunyi tembakan sehingga laungan Allah Maha Besar itu, semuanya dia dengar. Izz mula diserang rasa gerun. Tak mungkin Jad yang menembak, Jad tidak punya pistol sebegitu. Malahan Jad sedang bercakap dengannya. Tak mungkin Jad melakukan 2 perkara serentak.



Kembali kepada ruang dimana Jad jatuh rebah ke bumi. Sisa nyawa yang masih berbaki pada Jad membolehkannya memandang penyerangnya. Seorang yang tidak dikenalinya. Kemungkinan besar lelaki ini adalah Alek. Hatinya menyatakan itu adalah benar.



“Aku dah kata jangan libatkan orang lain!!!”







bersambung...




p/s - huhhhh...hahahaha...nantilah sambungannya, ya!!! Ahad!!

Comments

intan abd wahab said…
bravo3!!!!!!!!!
akak rs mcm dialam fantasi bl trjmpa zack smula...
rex???suri???huhuhu mmg hbt!!!!!!!!!!!!!
intan abd wahab said…
bravo3!!!!!!!!!
huh!!hlg rindu bl brtmu kmbali dgn zack.....
ada rex...ada suri...btul2 hbt!!!!!!!!!!!!
intan abd wahab said…
apakah jad btul2 mati????xmgkin sama sekali....
Mohamadjahn said…
bak kata RAM...

mati itu pasti...hidup, InsyaALLAH...

hehehe...
Eera Shera said…
damn great jan!bes gile cite ni..cpt laaa smbung..rex?kemunculannya ngn cara yg sgt macho.zack?teringat RBB la..thx sbb wat izz sgt macho dlm cerita ni...(dan rsenye die paling macho n great wat masa ni). kesiannye jad...best10x...!!! jan boleh jd cm kak dhiya n RAM la..
Mohamadjahn said…
eera..thanx kerana mendoakan saya..hehehe

Popular posts from this blog

Hantu Kak Limah Balik Rumah

BEN ASHAARI kata AKU TAK SUKA , AKU TAK SUKA LAA !

KEBAIKKAN COMPLEX CARBS